Jurang kemiskinan digital perlu diatasi - Khairy Jamaluddin

Madiha Abdullah
Julai 1, 2020 10:30 MYT
Kata Khairy, isu asas perlu diselesaikan jika mahu membawa Malaysia menjadi negara berteknologi tinggi. - Bernama
Merakyatkan inovasi dan digital terlebih dahulu harus dimulakan dengan penambahbaikan infrastruktur yang diperlukan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Kisah seorang pelajar di Sabah yang terpaksa memanjat pokok demi mendapatkan talian internet berkelajuan tinggi untuk sesi pembelajaran dalam talian, membuktikan masih banyak usaha perlu dilakukan bagi melonjakkan Malaysia menjadi sebuah negara berteknologi tinggi.
"Perkara asas ini kita perlu selesaikan jika visi saya itu mahu dijadikan kenyataan. Tiada makna jika kita mempunyai teknologi tinggi dan baik di Lembah Klang, Pulau Pinang atau Johor Bahru, tetapi di tempat lain tidak.
"Mereka yang berada di luar bandar akan menjadi lebih miskin. Apa yang saya sebut sebagai kemiskinan digital, akan membawa kepada kemiskinan sebenar.
"Kerana itu besar harapan saya untuk bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, untuk mempercepatkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), pelaksanaan 5G supaya ia dapat memberi manfaat dan memberi liputan pantas kepada semua.
"Apabila semua infrastruktur teknologi berada di landasan yang betul, kita akan membuka banyak kemungkinan," kata Khairy ketika ditemubual dalam program Agenda AWANI, pada Selasa.
Ujar Khairy, keterbukaan kerajaan dalam membentuk dan memberi sokongan kepada bakat-bakat muda juga penting dalam membawa aspirasi transformasi digital negara.
"Kali ini kita akan anjurkan satu hackerthon, di mana programmer muda boleh menyertai. Tengok mana-mana perkhidmatan kerajaan yang masih beroperasi secara offline jadi hackerthon besar-besaran ini satu cara untuk menunjukkan sokongan kerajaan dalam membawa bakat-bakat ini ke depan.
"Kita mahu semua anggota masyarakat menyertai kita dan menerapkan budaya pemikiran kreatif. Tidak kira mereka individu persendirian, syarikat kecil atau besar.
"Salah satu kelemahan yang perlu kita atasi ialah pengkomersialan. Kita mahu bakat dan hasil kretaiviti mereka ini dibawa ke hadapan dan dikomersialkan.
"Itu yang saya sedang usahakan, untuk memastikan ada clear path untuk mereka bawa hasil inovasi teknologi ini ke peringkat lebih tinggi," katanya.
#digital #Internet #Khairy Jamaluddin #Malaysia #Menteri Sains Teknologi dan Inovasi #pelajar #Sains #teknologi
;