Jurang gender dalam pasaran tenaga kerja masih besar - Shahrizat
Bernama
Ogos 5, 2023 23:44 MYT
Ogos 5, 2023 23:44 MYT
KEPALA BATAS: Jurang gender antara wanita dan lelaki dalam pasaran tenaga kerja masih terlalu besar apabila hanya 56.2 peratus untuk wanita (kadar penyertaan tenaga buruh wanita) berbanding lelaki dengan 82.9 peratus, setakat Mei tahun ini.
Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata bagaimanapun usaha seperti menganjurkan karnival kerjaya khusus untuk wanita mampu membantu meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh sebanyak 60 peratus.
"Tetapi yang lebih penting ialah impak yang akan dirasai oleh wanita-wanita di peringkat akar umbi. Apabila setiap wanita mempunyai dompetnya sendiri, maka sudah pastilah kesihatan dan kesejahteraan keluarganya lebih terjamin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya MYFutureJobs bersama HAWA yang bertemakan "Perkasa Wanita dan Keluarga" di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar, Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) Datuk Shahul Dawood.
Sementara itu, Shahrizat berkata HAWA Malaysia akan berusaha untuk membantu menyebarluaskan perkhidmatan PERKESO termasuk Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) kepada golongan wanita di seluruh negara.
Beliau berkata usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia dan PERKESO melibatkan golongan pencari kerja khususnya wanita amat membantu dalam merancakkan semula pasaran buruh ekonomi negara.
"Saya amat gembira apabila mendapat tahu bahawa sebanyak 45 karnival kerjaya termasuk sesi temu duga telah dianjurkan oleh PERKESO khusus untuk pencari kerja wanita sejak Januari tahun ini.
"Ini ialah satu usaha murni dalam menggalakkan golongan wanita menyertai pasaran kerja, seterusnya memberi peluang kepada mereka meningkatkan taraf hidup keluarga dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya.
-- BERNAMA