Jurang digital: Harap tiada lagi situasi pelajar panjat pokok, jatuh ke sungai - PM

Firdaus Azil
Oktober 3, 2021 21:48 MYT
Melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kerajaan telah menetapkan sasaran bagi seratus peratus liputan Internet di seluruh negara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan berharap tiada lagi situasi di mana pelajar terpaksa memanjat pokok, atau terjatuh ke dalam sungai dari atas jambatan gantung, semata-mata demi mendapatkan liputan Internet.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kerajaan telah menetapkan sasaran bagi seratus peratus liputan Internet di seluruh negara.
Jelas beliau lagi, liputan Internet antara faktor penting yang membolehkan negara menerokai dan melibatkan diri dalam teknologi dan ekonomi digital, serta memastikan liputan sama rata antara Sabah, Sarawak, dan Semenanjung.
“Di bawah program JENDELA, kita akan membelanjakan RM7.7 bilion - iaitu RM3.16 bilion kepada Sabah, dan RM4.09 bilion kepada Sarawak. Dalam masa dua tahun, kita harapkan 100 peratus liputan di Sabah dan Sarawak, dan sudah tentu juga di Semenanjung.
“Kalau dari segi infra sudah ada liputan Internet yang mencukupi, maka saya percaya ramai masyarakat luar bandar dan bandar boleh terlibat dengan teknologi digital ini,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian dalam program wawancara khas Eksklusif Bersama Perdana Menteri, yang disiarkan di Astro AWANI, TV3, dan RTM pada Ahad malam.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, biarpun kerajaan sudah menyediakan pusat internet di luar bandar, namun ia tidak begitu menampakkan kejayaan kerana pelaksanaan yang tidak seragam.
Katanya lagi, bagi menyelesaikan isu tersebut, penyediaan infrastruktur Internet di luar bandar, termasuk dengan skim latihan digital dan sebagainya, akan diselaraskan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), dengan menggunakan jenama Pusat Internet Keluarga Malaysia.
“Tumpuan bukan semata-mata dari segi latihan, tetapi supaya (meningkatkan lagi) penglibatan masyarakat B40, luar bandar, ke dalam perniagaan atas talian yang sekarang ini menjadi budaya.
“Apabila pandemik COVID-19 tidak membolehkan perniagaan bersemuka, ramai rakyat kita terlibat dengan perniagaan atas talian. Dan kita nak latih masyarakat luar bandar, dan mereka akan menggunakan pusat internet di kampung mereka untuk terlibat dalam perniagaan dalam talian ini,” katanya lagi.
#Eksklusif bersama Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #liputan internet #RMK-12 #JENDELA
;