Juragan tertidur, tongkang hanyut rempuh kediaman di Tawau
Ridzal Abdullah
Julai 28, 2018 18:44 MYT
Julai 28, 2018 18:44 MYT
Seramai 25 orang termasuk seorang bayi berusia 7 bulan hampir maut apabila tiga buah rumah di atas air yang didiami mereka dirempuh sebuah tongkang yang hanyut awal pagi tadi.
Kejadian di Kampung Tanjung Batu Laut di sini itu berlaku sewaktu ribut dan angin kencang sekitar jam 6.15 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus sewaktu kejadian seorang juragan sedang tidur dan apabila tersedar tidak mampu mengawal tongkang tersebut namun sempat membunyikan hon memberi amaran kepada penduduk.
"Semasa kejadian juragan tongkang tertidur dan menyedari tongkang menghampiri kawasan rumah selepas mendengar bunyi hon bertalu daripada bot lain, namun juragan itu tidak sempat mengemudi tongkang ke arah lain," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut Fadil,kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri namun tiga buah rumah yang dibina atas air itu musnah.
Tindakan pantas penduduk berjaya mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.
“Sekitar pukul 6 lebih, saya sedar tongkang sudah ke arah rumah saya. Saya kejut dan teriak anak-anak bangun semua untuk melarikan diri ambil surat penting saja yang boleh dibawa,” kata seorang penduduk, Mohammed Kassim.
Katanya ketika kejadian, cuaca buruk.
“Cuaca buruk, ribut angin kencang serta hujan juga. Cuma tongkang ini mungkin juragan tetidur sehingga sampai ke pinggir perkampungan sini. Dikejutkan oleh orang, baru dia sedar mahu tarik keluar begitu,” katanya lagi.
Jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM30,000.