Juragan terjun laut, rokok kretek 372 karton bernilai RM22,000 dirampas
Petrus Bernard
Mei 19, 2020 23:58 MYT
Mei 19, 2020 23:58 MYT
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) zon maritim Tawau berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok kretek di kawasan laut berhampiran Pantai Tinagat pada Selasa.
Sebelum kejadian kira kira jam 4.30 pagi APMM Tawau yang melakukan tugas rondaan dikawasan tanggungjawab mengesan pergerakan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan.
Pengarah zon maritim Tawau, Kapten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, ketika bot tersebut didekati untuk diperiksa, juragan bot tersebut bertindak terjun ke laut.
Menurut Siva Kumar, dalam keadaan gelap, juragan tersebut gagal dikesan dan dipercayai telah meloloskan diri ke pantai yang berdekatan.
Pemeriksaan ke atas bot pam tersebut mendapati terdapat 372 karton rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM16,500.
Rokok dan bot pam tersebut seterusnya dibawa masuk ke jeti zon maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.
Nilai keseluruhan barang rampasan termasuk rokok kretek, sebuah enjin sangkut 15 kuasa kuda serta bot pam berjumlah RM22,000.