Juragan terjun dari bot, selinap hutan bakau tinggalkan 900 karton rokok seludup

Radhi Muslim
Mac 9, 2021 13:08 MYT
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya merampas 900 karton rokok putih dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran pada Ahad. - Foto Maritim Malaysia
SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya merampas 900 karton rokok putih dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bertindak atas maklumat risikan, bot peronda Maritim Malaysia diatur gerak bagi melaksanakan pemintasan dan berjaya mengesan dua bot pancung dalam keadaan bergelap serta mencurigakan jam 2.30 pagi, pada Ahad.
Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran bot peronda, kedua-dua bot pancung terbabit memecut laju menghala ke Sungai Luboh.
"Ketika dalam proses kejar-mengejar, kedua-dua juragan terjun dari bot dan melarikan diri ke arah hutan bakau berdekatan.
"Hasil pemeriksaan ke atas bot pertama menemui lapan kotak besar berisi 400 karton rokok putih, manakala enam kotak besar berisi 300 karton rokok jenis yang sama ditemui di atas bot kedua.
"Turut ditemui sebuah kenderaan pacuan empat roda serta sebuah van tanpa pemandu di kawasan berdekatan," katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.
Menurutnya, kenderaan terbabit disyaki milik penyeludup berikutan penemuan empat kotak besar berisi 200 karton rokok putih serta tiga kampit beras, 200 kilogram (KG) tepung gandum, 120kg gula dan 51kg minyak masak dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran.
"Susulan itu, semua barang rampasan termasuk bot dan kenderaan di bawa ke Pejabat Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya lagi.
#Sandakan #seludup #rokok seludup #Rokok putih #penyeludupan #Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #Maratim Malaysia #APMM
;