Junjung titah Agong, segera panggil sidang Parlimen - Majlis Setiausaha PH

Astro Awani
Mac 3, 2021 19:59 MYT
Majlis Setiausaha PH gesa Parlimen harus segera bersidang kerana sektor ekonomi sudah dibenarkan beroperasi dan pihak eksekutif serta kehakiman boleh berfungsi. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Parlimen harus segera bersidang atau proses semak dan imbang dalam sistem demokrasi negara akan “dimatikan”, kata Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH).
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution (PKR), Datuk Dr Hatta Ramli (Amanah) dan Anthony Loke Siew Fook (DAP), ketiga-tiga pemimpin itu mengecam alasan-alasan yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Parlimen tidak perlu bersidang pada ketika ini.
“Kesemua alasan yang diberi adalah lemah, dangkal dan tidak menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda pada 24 Februari lalu yang menyatakan Parlimen boleh bersidang sewaktu darurat berkuat kuasa," tegas kenyataan itu lagi.
Majlis Setiausaha PH juga berpendapat, ketika lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dan pihak eksekutif serta kehakiman boleh berfungsi, tiada alasan lagi untuk Parlimen tidak bersidang.
“Tanpa Parlimen termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, proses semak imbang tersebut telah ‘dimatikan’,” kata kenyataan itu lagi.
Sidang Parlimen | Tiada keperluan lagi - Takiyuddin
BACA: Tiada keperluan lagi untuk panggil sidang Parlimen - Takiyuddin
Menurut Majilis Setiausaha PH, ketika ini, pelbagai isu yang menimbulkan kemarahan rakyat perlu diketengahkan termasuk isu ‘antara dua darjat’ dalam penguatkuasaan serta tentang bantuan kerajaan yang tidak sampai atau tidak mencukupi.
Selain itu, kenyataan itu menegaskan, dalam isu jangkitan COVID-19 dalam kalangan Ahli Parlimen pula, pemimpin-pemimpin pembangkang itu mengingatkan bahawa tiada seorang pun Ahli Parlimen dijangkiti COVID-19 selain tiada kluster tercetus sepanjang 55 hari Parlimen bersidang pada 2020.
Menerusi fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Ahli Parlimen merupakan antara golongan terawal menerima vaksin COVID-19 selain petugas barisan hadapan.
#Parlimen #Pakatan Harapan #Saifuddin Nasution #Hatta Ramli #Anthony Loke #Majlis Setiausaha #Takiyuddin Hassan #sidang #Agong #Yang di-Pertuan Agong #COVID-19 #darurat
;