Jumpa 'mayat' berbungkus rupanya...

Sinar Harian
Februari 9, 2022 23:06 MYT
Pemeriksaan mendapati 'mayat' tersebut hanyalah sebuah patung perempuan yang dibungkus dengan plastik. - Gambar/ Sinar Harian
SHAH ALAM : Pihak polis mengesahkan menerima laporan berkenaan penemuan sebuah objek seperti mayat manusia berhampiran sebuah kedai motosikal di Seksyen 27 di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, bagaimanapun selepas diperiksa 'mayat' tersebut hanyalah sebuah patung perempuan yang dibungkus dengan plastik.
"Satu bungkusan menyerupai mayat manusia dijumpai di Seksyen 27 pada 8 Februari jam 3 petang oleh petugas Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) Waste Management Sdn Bhd.
"Hasil pemeriksaan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendapati bungkusan tersebut hanyalah berisi patung lilin berbentuk perempuan yang dibalut dengan kain selimut dan plastik," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, kejadian tersebut diklasifikasikan sebagai 'no offence disclosed' (NOD) berikutan tiada sebarang kesahan jenayah dalam kes tersebut.
"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung gambar tersebut," katanya.
Kejadian tersebut turut tular selepas gambar penemuan 'mayat' berkenaan dimuat naik oleh beberapa pengguna media sosial.
Artikel asal di Sinar Harian.
#mayat wanita #patung disangka mayat #shah alam #sampah
;