"Jumpa kami jika rampasan itu ada wang UMNO" - Amar Singh
Rahimah Abdullah
Jun 27, 2018 15:57 MYT
Jun 27, 2018 15:57 MYT
UMNO disaran memberi keterangan kepada pihak polis jika benar ada antara barangan rampasan termasuk wang tunai melibatkan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah milik parti itu, ujar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.
Beliau berkata, ketika ini pihaknya belum dapat mengenal pasti pemilik barangan rampasan yang dibuat di enam premis melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan.
"Kita tidak akan dapat tahu (sama ada rampasan ada wang UMNO) sebab dekat situ tidak ditulis daripada UMNO. Jika mereka mahu mengatakan rampasan itu ada wang UMNO, maka kami akan mengambil keterangan dari mereka. Jadi, tunjukkan pada kita," katanya dalam sidang media khas mengenai pendedahan rampasan barangan melibatkan kes 1MDB di Menara KPJ di sini, hari ini.
Unit Komunikasi Strategi Ibu Pejabat UMNO pada Mei lalu pernah mengeluarkan satu kenyataan bahawa parti itu kesal dengan tindakan polis merampas wang yang didakwa dana politik mereka untuk pilihan raya dan pengurusan parti.
Kenyataan itu juga menyebut wang sumbangan itu dirampas semasa proses dipindahkan kepada kepimpinan baru parti itu.
#1Malaysia Development Berhad
#1MDB
#Bukit Aman
#jenayah
#Media
#menteri
#Najib Razak
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#polis
#politik
#siasatan
#UMNO