Jumpa bayi hidup depan rumah
Astro Awani
Oktober 1, 2018 12:36 MYT
Oktober 1, 2018 12:36 MYT
Sepasang suami isteri terkejut apabila menjumpai bayi lelaki baru lahir di perkarangan pintu rumah mereka di Bandar Tasik Puteri di sini, awal pagi tadi.
Muhammad Hairuddin Mohd Khalid berkata, dia hanya menyedari kehadiran bayi itu apabila dia hendak keluar untuk mengambil barang yang dihantar sepupunya.
Menurutnya, bayi yang masih bertali pusat itu didapati tidak berpakaian, hanya berselimut dan dialas dengan tuala biru dan jaket bewarna hitam.
Bayi itu diletakkan di atas kerusi yang berada di ruang depan garaj rumahnya.
"Dalam pukul 4 pagi, saya buka pintu sebab dengar ada bayi nangis, ternampak ada bayi kesejukan jadi saya bawa dia masuk rumah, pakaikan baju, bagi minum air zam zam, kemudian baru fikirkan tindakan selanjutnya," katanya.
Tambah Muhammad Hairuddin yang sudah lapan tahun menetap di kawasan perumahan itu, dia terus memaklumkan penemuan itu kepada pihak berkuasa.
Bayi itu kini telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat atau mana-mana klinik yang ada merawat wanita baru bersalin dalam keadaan mencurigakan, untuk menyalurkan maklumat dengan segera.