Jumpa bayi di tapak sampah
Ruzaini Zulkepli
Disember 3, 2017 17:54 MYT
Disember 3, 2017 17:54 MYT
Seorang pencari barangan lusuh terkejut apabila menemui mayat bayi perempuan yang diletak dalam lipatan tuala berwarna merah di tapak pelupusan sampah Jalan Langkon di Kota Marudu dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, saksi lelaki yang dikenali sebagai Welmon, 30-an, berkata ketika itu dia dan rakan-rakannya sedang memunggah sampah di tapak pelupusan berkenaan untuk mencari barangan terpakai.
Asyik memunggah, saksi terlihat satu alas plastik meja di bawah timbunan sampah lalu menarik plastik itu sebelum menemui lipatan tuala berwarna merah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Mohd Izaan Abdullah berkata, sebaik membuka lipatan tuala itu, pengadu terkejut melihat mayat seorang bayi perempuan yang sempurna sifatnya dan masih mempunyai uri serta tali pusat.
"Pengadu bergegas memaklumkan perkara terbabit kepada rakan-rakannya sebelum menghubungi polis."
Beliau berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Kota Marudu dan hasil pemeriksaan mendapati umur bayi berkenaan adalah berusia kira-kira 28 minggu dalam kandungan serta tiada sebarang kecederaan fizikal terhadap tubuh badan bayi itu.
Jelasnya, punca kematian masih belum dapat dipastikan kerana ianya memerlukan pemeriksaan pakar forensik dan mayat bayi itu dijadualkan dibedah siasat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu pada Selasa depan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.