Jumlah trafik penumpang udara dijangka cecah 49 juta hujung 2022
Bernama
September 13, 2022 16:09 MYT
September 13, 2022 16:09 MYT
SEPANG: Malaysia dijangka mencatatkan jumlah trafik penumpang udara antara 32.6 juta dan 49 juta penumpang menjelang hujung tahun ini berikutan pertumbuhan positif ditunjukkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Beliau berkata, statistik Suruhanjaya Penerbangan Malaysia(MAVCOM) menunjukkan jumlah trafik penumpang udara negara meningkat 574.6 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lepas, iaitu mencapai kira-kira 16.3 juta penumpang.
Berucap pada majlis pelancaran Progam Keselamatan Penerbangan Kebangsaan (SSP), di sini, hari ini, Wee berkata, jumlah pergerakan pesawat bagi enam bulan pertama tahun ini adalah 288,076 pergerakan.
Menurutnya, bagi jumlah trafik kargo udara untuk tahun ini pula, dijangka berkembang antara 3.9 peratus dan 6.7 peratus berbanding 2021, iaitu antara 21.5 bilion hingga 22 bilion tan kargo setiap kilometer (FTK).
Memetik data Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), beliau berkata, jumlah penumpang udara akan pulih sepenuhnya paling awal menjelang 2024 bergantung kepada situasi semasa di rantau ini.
Katanya, berdasarkan perkembangan positif itu, Kementerian Pengangkutan optimis untuk membangunkan sektor penerbangan bagi memulihkan industri pelancongan negara.
"Pengangkutan udara yang efisien, menepati waktu, selamat dan boleh dipercayai akan menjadi faktor utama pemacuan ekonomi dan sosial Malaysia," katanya. - BERNAMA