Jumlah tenaga buruh meningkat 0.1 peratus pada Julai 2024 - DOSM
Bernama
September 9, 2024 22:36 MYT
September 9, 2024 22:36 MYT
PUTRAJAYA: Jumlah tenaga buruh pada Julai 2024 meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 17.2 juta orang, berbanding 17.17 juta orang pada bulan sebelumnya, dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.4 peratus seperti pada bulan sebelumnya, menurut Statistik Tenaga Buruh.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah pekerja pada Julai 2024 terus mencatatkan peningkatan 0.2 peratus kepada 16.63 juta orang berbanding 16.61 juta orang pada bulan sebelumnya,
"Pasaran buruh negara kekal stabil, susulan kedudukan ekonomi negara yang semakin berkembang pesat, merekodkan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur semakin berkurangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bilangan penganggur pada bulan itu mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 0.3 peratus kepada 563,700 orang berbanding 565,300 orang pada Jun 2024, dengan kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus, sama seperti bulan sebelumnya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai situasi guna tenaga, Mohd Uzir berkata pada Julai 2024, sebahagian besar penduduk bekerja adalah dalam kategori pekerja, merangkumi 75.0 peratus.
"Kategori ini naik sebanyak 0.1 peratus kepada 12.48 juta orang berbanding bulan sebelumnya 12.46 juta orang.
"Pada masa yang sama, kategori penduduk bekerja sendiri kekal dalam trend meningkat, bertambah sebanyak 0.3 peratus kepada 3.07 juta orang berbanding 3.06 juta orang pada Jun 2024," katanya.
Mengenai situasi pengangguran pada Julai, beliau berkata mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif meliputi 80.0 peratus daripada jumlah penganggur.
Katanya kategori itu mencatatkan penurunan sebanyak 0.3 peratus kepada 450,700 orang berbanding 451,900 orang pada bulan sebelumnya.
"Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 61.5 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 6.9 peratus.
"Bagi penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, turun sebanyak 0.4 peratus kepada 113,000 orang berbanding 113,400 orang pada Jun 2024," katanya.
-- BERNAMA