Jumlah tangkapan individu ingkar PKP meningkat kepada 557 orang pada Sabtu - Ismail Sabri

Fareez Azman
April 26, 2020 15:43 MYT
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di Putrajaya. - Foto Bernama
Jumlah tangkapan individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat sepanjang Sabtu selepas tiga hari sebelumnya mencatatkan penurunan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seramai 557 individu telah ditahan dimana 505 direman dalam tempoh 24 jam.
"PDRM telah menangkap 557 individu berbanding 386 individu hari sebelumnya. Ia merangkumi 505 individu direman dan 72 dijamin polis. Semalam saya dah seronok tiga hari jumlah tangkapan menurun tapi hari semalam naik kembali," katanya dalam sidang media pada Ahad.
Sementara itu jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga kini seramai 20,011 individu.
Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 824 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 446,024 kenderaan setakat ini.
Rakyat sekali lagi diingatkan, agar tetap mengikut peraturan yang telah dikuatkuasakan sepanjang PKP.
Jika didapati ingkar, polis ujarnya akan mengambil tindakan sewajarnya terutamanya menahan dan mendakwa di mahkamah.
Justeru, beliau berharap rakyat Malaysia dapat bersabar dan sebarang garis panduan setiap zon akan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
#ATM #Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob #ingkar #kluster keselamatan #Menteri Kanan #PDRM #PKP #Sekatan Jalanraya
;