Jumlah siswazah menganggur turun kepada 4.1 peratus tahun lepas
Bernama
Julai 27, 2022 18:36 MYT
Julai 27, 2022 18:36 MYT
KUALA LUMPUR: Bilangan siswazah menganggur berkurangan kepada 4.1 peratus pada tahun 2021, menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, 33.9 peratus siswazah menganggur adalah dalam kalangan kelompok berkaitan dengan bidang kemahiran.
Beliau yang memetik Statistik Siswazah 2021 berkata, bilangan graduan di Malaysia ialah 5.61 juta orang tahun lepas, yang mewakili 22.1 peratus daripada penduduk negara yang bekerja dan berumur 15 tahun ke atas.
"Pada 2021, ekonomi Malaysia secara beransur memperoleh semula momentum ke arah pemulihan, dan seterusnya memupuk keadaan pasaran buruh yang lebih sihat pada tahun itu berbanding 2020. Sehubungan itu bilangan graduan yang bekerja meningkat lima peratus kepada 4.57 juta orang (2020: 4.35 juta orang).
"Kira-kira dua pertiga (64.8 peratus) diambil bekerja dalam kategori pekerjaan mahir. Bagaimanapun, jumlah itu menurun sebanyak 1.2 peratus berikutan pengurangan dalam kategori pengurus manakala dua lagi pekerjaan mahir iaitu profesional dan juruteknik serta profesional bersekutu, mencatatkan peningkatan dalam jumlah graduan yang bekerja," katanya dalam kenyataan hari ini.
Siswazah ditakrifkan sebagai individu yang mempunyai sijil tertinggi yang diperoleh daripada universiti, kolej, politeknik, badan yang diiktiraf atau setaraf dengannya, dengan tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun.
Mohd Uzir berkata, 32.9 peratus siswazah bekerja dalam pekerjaan separuh mahir sebahagian besarnya sebagai pekerja sokongan perkeranian (14.4 peratus), diikuti pekerja perkhidmatan dan jualan (10.8 peratus) dan pekerja kraf dan perdagangan yang berkaitan (4.2 peratus) dan 2.3 peratus telah diambil bekerja dalam kategori berkemahiran rendah.
Mohd Uzir dalam pada itu berkata, ketika negara memasuki tahun kedua mengharungi krisis kesihatan awam yang memerlukan pelaksanaan pelbagai sekatan sosial dan ekonomi, cabaran struktur pasaran buruh kekal seperti yang ditunjukkan oleh peningkatan pengangguran yang berterusan.
Beliau berkata, dari perspektif sektor ekonomi 77.4 peratus graduan bekerja dalam sektor perkhidmatan, diikuti 13.7 peratus dalam sektor pembuatan dan enam peratus dalam sektor pembinaan.
Katanya, bilangan siswazah menganggur menurun 2.5 peratus tahun lepas, selepas mencatatkan lonjakan dua angka sebanyak 22.5 peratus pada 2020.
Mohd Uzir juga berkata, upah dan gaji yang lebih tinggi direkodkan untuk graduan pada 2021 berbanding tahun sebelumnya, dengan purata gaji dan upah bulanan meningkat 2.1 peratus kepada RM4,582 (2020: RM4,489). - BERNAMA