Jumlah siswazah dapat kerja naik 300,000 orang pada 2018
Hasimi Muhamad
Disember 13, 2019 19:32 MYT
Disember 13, 2019 19:32 MYT
Kadar pengangguran dalam kalangan siswazah bagi 2018 menunjukkan penurunan kepada 3.9 peratus (%) berbanding 4.0 % tahun sebelumnya.
Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkan, bilangan siswazah yang bekerja naik kepada 3.99 juta berbanding 3.69 juta pada 2017.
Jumlah tersebut sekaligus menyaksikan peningkatan seramai 300,000 siswazah mendapat pekerjaan di negara ini bagi tempoh tersebut.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, daripada jumlah tersebut, bilangan siswazah perempuan yang bekerja adalah lebih tinggi dengan merekodkan jumlah sebanyak 20.1 juta orang.
“Bilangan siswazah bekerja perempuan pada 2018 lebih tinggi sedikit berbanding lelaki dengan merekodkan peratusan 50.4 % atau 2.01 juta orang.
“Dari segi kohort umur, siswazah yang bekerja dalam kohort umur lebih tua iaitu 35 tahun lebih ramai lelaki berbanding perempuan.
“Namun, dengan dasar sekarang kita menggalakkan modal insan dalam negara tidak kira lelaki atau perempuan dapat diperkukuhkan,” katanya di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut katanya, lebih 70 % siswazah yang menganggur adalah mereka yang aktif mencari pekerjaan dan bersedia untuk dipanggil bekerja.
Dari segi peratusan tempoh penganguran, sebanyak 79.7 % siswazah menganggur dalam tempoh kurang enam bulan, sementara 11.9 % kurang dari setahun.
“Ada juga lebih kurang 5 % daripada siswazah kita ini mereka bukan bekerja tetapi menjadi majikan.
“Ini yang saya nampak daripada dapatan ini dan ini memberikan peluang pekerjaan kepada siswazah lain,” katanya.
Menurut laporan tersebut juga, Mohd Uzir berkata, sebanyak 73.8 % atau 2.9 juta siswazah bekerja dalam kategori mahir, sementara selebihnya terlibat dalam sektor separa mahir.
Yang mana, sektor perkhidmatan menyaksikan penglibatan tertinggi siswazah dengan hampir 80 % menceburi bidang tersebut.
Statistik Siswazah 2018 yang dikeluarkan melibatkan 4.96 juta individu yang diklasifikasikan sebagai siswazah pada umur seawal 15 tahun.
#graduan
#Kadar pengangguran di Malaysia
#Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia
#Malaysia
#Malaysia Baharu
#Siswazah Malaysia
#Siswazah Malaysia menganggur
#Statistik Siswazah 2018