Jumlah sebenar pendatang tanpa izin di Sabah sukar diketahui
Ruzaini Zulkepli
September 3, 2018 07:12 MYT
September 3, 2018 07:12 MYT
Jumlah sebenar pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah tidak diketahui kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman.
Katanya, tindakan PATI itu yang memasuki negeri ini melalui 'laluan-laluan tikus' dan tidak direkodkan menyebabkan data sebenar jumlah mereka di negeri ini sukar diperolehi.
Menurut Azis, sejajar dengan situasi berkenaan, operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dalam membanteras dan memburu PATI di negeri ini wajar diperkasakan bagi mengelakkan jumlah mereka terus bertambah.
"Bila bercakap soal PATI ini kita pun tahu mereka ini masuk ke Sabah secara tidak sah dan tidak direkodkan, sebab itu kita tidak mengetahui jumlah sebenar PATI yang berada di Sabah.
"Sebab itu kita lakukan operasi untuk menangkap mereka, jika mereka masuk ke negeri ini melalui cara yang tidak sah, kita akan buru dan tangkap mereka serta mengusir mereka balik ke negara asal," katanya. selepas operasi Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Negeri Sabah, malam tadi.
Dalam operasi yang dijalankan di Rumah Setinggan Kampung Gentisan, Sepanggar dan Kampung Baru Tanjung Aru itu seramai 640 orang telah diperiksa dan seramai 58 orang telah ditahan kerana tidak memiliki dokumen.
Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali, sejak awal tahun sehingga kini, pihak Imigresen telah melaksanakan hampir 10,000 operasi di seluruh negara dan hampir 30,000 orang PATI telah ditangkap.
Tambah Mustafar, seramai 880 orang majikan juga telah ditangkap sepanjang operasi berkenaan kerana mengambil pekerja asing secara tidak sah sebagai pekerja.
"Dalam operasi yang kita lakukan sejak awal tahun ini, operasi yang kita telah jalankan adalah hampir 10,000 dan dalam operasi berkenaan hampir 30,000 orang PATI telah ditangkap," katanya.
#Azis Jamman
#Imigresen
#Malaysia
#Mustafar Ali
#operasi
#pati
#pekerja asing
#Sabah
#Timbalan Menteri Dalam Negeri