Jumlah pulangan ASB 8.25 sen, ASN 3.65 sen bagi 2017
Luqman Hariz
Disember 22, 2017 16:07 MYT
Disember 22, 2017 16:07 MYT
Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan dividen 7.00 sen seunit, beserta bonus 0.25 sen seunit dan Bonus Khas Ulang Tahun PNB Ke-40 sebanyak 1.00 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Bagaimanapun, pengagihan Bonus Khas Ulang Tahun tersebut hanya terhad kepada pegangan 10,000 unit yang pertama.
Ini menjadikan jumlah pulangan ASB sebanyak 8.25 sen seunit bagi 2017, peningkatan 12 peratus berbanding jumlah pulangan tahun lalu.
Tahun lalu, PNB mengumumkan dividen sebanyak 6.75 sen seunit bagi ASB beserta bonus 0.50 sen seunit, menjadikan jumlah pulangannya 7.25 sen seunit.
Penyertaan Bonus Khas Ulang Tahun tahun ini juga menjadikan 2017 satu-satunya tahun di mana pulangan ASB terdiri dari tiga komponen, berbanding dua komponen sebelum ini.
Menurut PNB, agihan tahun ini bakal melibatkan jumlah sebanyak RM10.7 bilion, memanfaatkan 9.1 juta pemegang.
PNB berkata, ASB mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM8.91 bilion setakat 30 November, 2017.
"Ini ekoran pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh dan berada pada landasan yang tepat untuk mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi tahun penuh sebanyak 5.8% serta kejayaan pelaksanaan pelan strategik STRIVE-15 PNB setakat ini," kata PNB dalam satu kenyataan hari ini.
Bayaran akan dibuat pada 1 Januari 2018, manakala Bonus Ulang Tahun Khas akan dikreditkan pada 1 Mac 2018.
PNB juga turut mengumumkan pengagihan pendapatan 3.65 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional (ASN), mewakili hasil dividen sebanyak 5.0 peratus.
"Setakat 30 November 2017, ASN merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM72.65 juta.
"Jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM69.4 juta akan dimanfaatkan oleh 1.2 juta pemegang unit dengan pegangan 1.9 bilion unit dalam dana tersebut," kata PNB.
PNB berkata, pendapatan bersih keseluruhannya meningkat 7.1 peratus kepada RM15.4 bilion pada 2017.
Manakala Jumlah Pengurusan Asetnya setakat November tahun ini turut meningkat 4.6 peratus tahun ke tahun kepada RM276.5 bilion, berbanding RM264.3 bilion pada November 2016.
Dana pelaburan negara itu menambah, ia juga berjaya memperoleh status hukum 'Harus' bagi orang Islam untuk semua unit pelaburannya tahun ini.
"Satu lagi pencapaian utama PNB pada tahun 2017 adalah penetapan fatwa 'Harus', atau 'dibenarkan' untuk semua pelaburan ASB, dari dua negeri yang belum mengeluarkan fatwa tersebut, iaitu Selangor dan Pulau Pinang.
"Dengan perkembangan terbaru ini, PNB kini telah menerima fatwa 'Harus' dari semua negeri," tambahnya.