Jumlah pesakit COVID-19 yang hadir di CAC Stadium Melawati naik mendadak - IMARET
Hasimi Muhamad
Julai 9, 2021 19:38 MYT
Julai 9, 2021 19:38 MYT
SHAH ALAM: Jumlah pesakit COVID-19 yang hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di empat daerah di Selangor masing-masing di Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang menunjukkan peningkatan mendadak sejak kebelakangan ini.
Malah statistik di CAC Stadium Melawati di Shah Alam, di sini menunjukkan berlaku pertambahan sehingga tiga kali ganda iaitu sekitar 2,600 berbanding 800 pesakit sehari yang direkodkan sebelum ini.
Situasi tersebut didedahkan oleh Pasukan Respons Dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Menurut Koordinatornya, Dr Ahmad Munawar Helmi Salim, jumlah pesakit yang begitu ramai setiap hari disebabkan segelintir mereka hadir secara serentak, selain tidak mengikut janji temu yang diberikan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.
Bagaimanapun, beliau berkata kebanyakan mereka yang hadir adalah bagi tujuan penilaian dan memotong gelang selepas tamat tempoh kuarantin.
"Memang setiap hari sejak minggu lepas hingga minggu ini, situasi jumlah pesakit meningkat dengan mendadak. Semalam seramai 2,200 pesakit dan hari Isnin lepas adalah paling tinggi dalam sejarah sejak CAC dibuka iaitu hampir 2,700.
"Kita buka CAC pada pukul 8.30 pagi tetapi pesakit datang seawal pukul 6.30 pagi. Maka, walaupun mereka ada janji temu tetapi kebanyakan akan datang pada masa serentak iaitu pada awal pagi. Sebab itu kita nampak awal pagi memang akan beratur panjang.
"Walaupun minggu ini sudah beberapa hari lebih 2,000 pesakit hadir, tetapi alhamdulillah sekitar pukul 2.30 petang sudah selesai (penilaian kepada pesakit) dan paling lambat pukul 5 petang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Munawar berkata kebanyakan pesakit yang hadir ke CAC sebelum ini berada dalam kategori 1 dan 2, namun pusat penilaian itu kini mula menerima pesakit pada tahap 4 dan 5.
Jelas beliau lagi, memandangkan kapasiti katil di hospital berada dalam keadaan kritikal, pesakit yang perlu mendapatkan rawatan terpaksa berada di CAC dalam tempoh yang lebih lama sebelum mereka boleh dihantar ke hospital.
Selain pesakit dalam komuniti, CAC juga menerima pesakit dalam sektor industri yang dihantar oleh majikan masing-masing menggunakan bas.
Dr Munawar menambah ujian saringan yang sedang giat dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi-lokasi bersasar termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) turut menyumbang kepada peningkatan angka kes positif.
Bagaimanapun, ketika ditanya adakah keadaan ketika ini masih terkawal, Dr Munawar berkata:
"Kalau hospital kita sudah penuh dan pesakit kategori 4 masih di atas kerusi roda, di lantai dan tiada katil, ini kan pula mereka dalam komuniti yang datang ke CAC setiap hari,. Bagi CAC bersaiz kecil, sekurang-kurangnya 10 orang memerlukan oksigen dan ini menunjukkan keadaannya semakin teruk.
"Kita rasa perlu peningkatan kapasiti kesihatan, bukan sahaja fasiliti katil dan dewan tetapi juga tenaga kerja. Tenaga kerja ketika ini adalah orang sama sejak tahun lepas dan sampai sekarang mereka tidak henti-henti (bekerja).
"Jadi, kalau kita buka lebih banyak katil, di mana kita nak cari tenaga kerja? Kalau kita buka lebih banyak katil, adakah kita cukup kapasiti oksigen dan lain-lain?" soalnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar CAC di setiap daerah di Lembah Klang menambah baik perkhidmatan termasuk menggunakan aplikasi bagi memudahkan proses memantau pesakit COVID-19.
Setakat ini, seramai 500 sukarelawan perubatan dan bukan perubatan IMARET ditempatkan di lapan CAC di enam daerah di Selangor.
CAC akan mengklasifikasi tahap pesakit COVID-19 untuk menentukan pengurusan pesakit termasuk kelulusan rawatan di rumah.
Selain itu, CAC akan mengenal pasti pesakit yang memerlukan rujukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau hospital iaitu pesakit Kategori 1 dan 2 yang tidak sesuai untuk ditempatkan atau dipantau dari rumah.
#Keadaan di CAC
#CAC sesak
#CAC Melawati
#IMARET
#Pesakit COVID-19 di CAC
#Covid-19 Malaysia
#PKP 3 0
#PKPD Selangor
#berita hari ini