Jumlah penumpang harian MRT laluan Putrajaya dijangka cecah 200,000 Loke

Bernama
Februari 7, 2023 14:34 MYT
Anthony Loke Siew Fook (tiga dari kanan) mengadakan tinjauan di Depoh MRT Sungai Buloh, pada Selasa. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jumlah penumpang harian bagi perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya yang akan mula beroperasi sepenuhnya pada pertengahan Mac ini dijangka mampu mencecah kira-kira 200,000 dalam masa dua tahun.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua kini siap 99.9 peratus dan berharap dapat menarik lebih ramai pengguna pengangkutan awam menggunakan perkhidmatan itu.
"Untuk tempoh satu hingga dua tahun, kami harap ia dapat cecah 200,000 penumpang harian, itu memang harapan kami, tetapi seperti mana-mana perkhidmatan MRT atau LRT (Transit Aliran Ringan), ia akan mengambil masa untuk capai sasaran itu.
"Seperti MRT Satu juga Kajang Line (MRT Laluan Kajang), kita bermula dengan jumlah yang rendah tetapi kemudian ia telah mencecah kira-kira 200,000 sekarang. Ia ambil masa kira-kira dua tahun untuk capai jumlah itu," katanya pada sidang media di Depoh MRT Sungai Buloh, dekat sini hari ini.
Loke berkata, projek MRT Laluan Putrajaya itu menelan belanja RM30.53 bilion untuk kos pembinaan dan kos sistem meliputi 36 stesen melibatkan 49 set kereta api.
Beliau berkata, pada permulaan apabila ia mula beroperasi nanti akan dimulakan dengan frekuensi lima minit untuk setiap tren.
Terdahulu, Loke mengadakan lawatan kerja ke MRT Laluan Putrajaya bermula dari stesen Putrajaya Sentral ke stesen Titiwangsa, sebelum menuju ke stesen Kwasa Damansara.
Sementara itu, Loke berkata, pihaknya juga merancang untuk memperluas stesen Titiwangsa yang juga sebahagian daripada laluan tersebut sebagai antara hab pengangkutan utama yang menghubungkan beberapa mod pengangkutan iatu monorel, LRT laluan Ampang, MRT2 (Laluan Putrajaya) serta MRT3 yang bakal dibina.
Beliau berkata, tapak yang dikenal pasti itu milik MRT Corp yang akan bertanggungjawab membangunkan projek tersebut termasuk urusan perolehan dan tender.
"Pada mulanya (pembesaran stesen) ini dirancang bersama pembinaan MRT3, tetapi saya beritahu MRT Corp mungkin kita perlu melihat perkara ini dan melakukannya lebih awal, sebelum pembinaan (MRT3)," katanya.
Loke berkata, pihaknya telah mengenal pasti kawasan pembangunan yang merupakan bekas tapak Flat Pekeliling yang dirobohkan untuk melaksanakan pembinaan tersebut berkonsepkan stesen pembangunan berorientasikan transit (TOD).
Loke berkata, pengoperasian penuh MRT Putrajaya Fasa Dua juga akan memudahkan orang ramai dan pesakit Hospital Kuala Lumpur mendapatkan rawatan menerusi pembukaan stesen di hospital tersebut yang turut dilengkapi kemudahan laluan gerak atau walkalator sepanjang 400 meter.
Beliau berkata, sebanyak 107 bas pengantara disediakan bagi menyokong perkhidmatan MRT2 dalam menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan tersebut.
Loke berkata, pihaknya juga akan meneliti pelbagai pendekatan bagi menambah baik sistem batuan pertama dan akhir termasuk cadangan memperkenalkan perkongsian kenderaan dengan kerjasama syarikat e-hailing, bagi mengoptimumkan perkhidmatan tersebut dengan harga tambang lebih murah.
Ditanya berkenaan status terkini MRT3, Loke berkata, pihaknya sedang menunggu kelulusan projek dan penganugerahan tender daripada Kementerian Kewangan. - BERNAMA
#MRT Laluan Putrajaya #jumlah penumpang #Transit Aliran Massa #Anthony Loke Siew Fook
;