Jumlah pengunjung di Bazar Ramadan sekitar Petaling Jaya meningkat berbanding 2021

Ridauddin Daud
April 13, 2022 19:02 MYT
Jumlah pengunjung di 20 buah Bazar Ramadan di seluruh Petaling Jaya mencatatkan peningkatan ketara berbanding tahun lepas. - Gambar Astro AWANI
PETALING JAYA: Jumlah pengunjung di 20 buah Bazar Ramadan di seluruh Petaling Jaya mencatatkan peningkatan ketara berbanding tahun lepas.
Pengarah Jabatan Perlesenan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sharinaz Shamsudin berkata,
pihaknya juga menjangkakan jumlah tersebut meningkat 40 peratus berbanding tahun 2021.
"Apa yang dapat kita lihat berbanding tahun lepas, untuk tiga minggu, sebab tahun lepas kita tiada Bazar Ramadan empat minggu kerana ia merupakan minggu Perintah Kawalan Pergerakan.
"Untuk tiga minggu pada tahun lepas, jumlah yang dikesan melalui MySejahtera ialah 210,000 orang pengunjung. Bagaimanapun minggu pertama untuk 2022 sehingga semalam, kita nampak ada 190,000 orang pengunjung.
"Kita menjangkakan bahawa minggu keempat Ramadan ini boleh mencatat peningkatan sehingga 40 peratus.
"Jadi kita tengok rakyat dan penduduk masih memilih bazar Ramadan sebagai pilihan untuk mendapatkan juadah berbuka dan mereka nampaknya lebih yakin sebab semakin ramai yang keluar untuk ke bazar Ramadan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Taman Sri Manja di sini pada Rabu yang turut dihadiri Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor, Faizatul Aini Mohd Adnan.
Dalam pada itu, Sharinaz berkata, MBPJ pada tahun ini melaksanakan mekanisme berbeza dalam merekod kehadiran pengunjung dan turut menggunakan teknologi baharu, Crowd Control System (CCS) di Kelana Jaya dan Kota Damansara.
Jelasnya, dua kawasan itu menjadi perintis kepada CCS kerana jumlah pengunjung yang tinggi saban hari dan di lokasi lain pula, mereka menggunakan gelang getah bernombor, menggantikan tag bertali pada tahun lepas.
Sementara itu, Faizatul Aini berhasrat untuk mencadangkan teknologi dan pendekatan baharu digunakan MBPJ kepada negeri lain pada masa akan datang.
"Saya memang bercadang sebab ini adalah amalan terbaik yang boleh kita lakukan. Kita boleh laksanakan di negeri lain untuk kepentingan rakyat untuk memastikan kesihatan rakyat terpelihara dan mereka dapat menikmati kelonggaran.
"Selepas dua tahun ini, kita kurang bazar Ramadan, bazar Aidilfitri. Bagaimanapun, kita pastikan SOP (prosedur operasi standard) tetap kita amalkan, kita jaga untuk pastikan tiada lagi penyebaran virus," ujarnya.
Tambahnya lagi, secara keseluruhannya, pematuhan SOP di seluruh negeri berada di tahap memuaskan.
"Jadi saya percaya kalau dalan beberapa minggu ke depan, bila laksanakan bazar Aidilfitri, saya rasa tiada masalah.
"Pengunjung dapat mematuhi SOP yang telah disediakan dengan baik. Kita sama-sama, kita bekerjasama dengan penguatkuasa untuk pastikan SOP yang telah ditetapkan kita patuhi.
"Ini sebenarnya untuk kebaikan bersama dan pastikan kita boleh dapat balik beraya," kata beliau lagi.
#Bazar Ramadan #Petaling Jaya #peningkatan pengunjung #40 peratus
;