Jumlah penganggur meningkat kepada 610,500 suku pertama 2020
Astro Awani
Mei 8, 2020 15:00 MYT
Mei 8, 2020 15:00 MYT
Bilangan penganggur di negara ini meningkat 17.1 peratus iaitu daripada 521,300 orang pada Mac tahun lalu kepada 610,500 orang pada Mac tahun ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar pengangguran pada Mac lalu pula adalah 3.9 peratus.
“Kadar pengangguran yang tinggi ini antaranya dipengaruhi oleh impak negatif Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas pasaran buruh.
“Kadar pengangguran tertinggi negara yang pernah dicatatkan ialah 7.4 peratus pada tahun 1986.
“Bilangan tenaga buruh pada bulan Mac 2020 menurun 0.2 peratus kepada 15.84 juta orang berbanding Februari 2020,” katanya semasa sidang video di laman Facebooknya di sini, pada Jumaat.
Laporan ini terkandung di dalam Statistik Utama Tenaga Buruh, Malaysia, Mac 2020 dan Laporan Survei Tenaga Buruh, Malaysia, Suku Pertama 2020 (ST1 2020) yang memaparkan statistik tenaga buruh, guna tenaga dan pengangguran yang diperoleh daripada Survei Tenaga Buruh (STB).
Dr Mohd Uzir berkata, pada tempoh yang sama, angka penduduk bekerja turut menurun 0.7 peratus kepada 15.23 juta orang.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2.81 juta adalah bekerja sendiri seperti peniaga atau pengusaha kecil-kecilan (pasar tani/ pasar malam/ katering/ freelancer) dan seumpamanya yang menerima pendapatan/gaji harian.
“Mereka ini terdedah kepada risiko pengangguran dan kehilangan pekerjaan yang boleh menjejaskan pendapatan semasa tempoh PKP kerana sebahagiannya tidak dapat bekerja dan mengusahakan perniagaan mereka,” jelasnya.
Sementara itu jelasnya, terdapat peningkatan yang ketara bagi mereka yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu iaitu seramai 1.12 juta orang pada Mac, berbanding 366,300 orang yang dicatatkan pada Februari 2020.
Tambahnya, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) turun daripada 68.7 peratus pada Februari 2020 kepada 68.6 peratus pada Mac 2020 selepas mencatatkan KPTB tertinggi pada Januari 2020 (68.9 peratus).
Mengulas mengenai prestasi tenaga buruh pada suku pertama pula, Dr Mohd Uzir menjelaskan, peningkatan kadar pengangguran kepada 3.5 peratus berbanding 3.2 peratus pada suku keempat 2019 berpunca daripada kadar pengangguran yang melonjak pada Mac 2020.
“Ini merupakan kadar pengangguran tertinggi yang pernah dicatatkan sejak suku kedua 2017.
"Bilangan penganggur seramai 546,600 orang, naik 5.8 peratus berbanding suku yang sama tahun lepas,” ujarnya.
Daripada jumlah bilangan penganggur tersebut katanya, penganggur siswazah menyumbang sebanyak 29.3 peratus.
Katanya, peningkatan kadar pengangguran boleh dikaitkan dengan kesan negatif yang disebabkan oleh PKP.
“Kategori penganggur bagi kumpulan umur belia 15 hingga 30 tahun mencatatkan kadar pengangguran tertinggi iaitu 6.9 peratus diikuti 31 hingga 45 tahun (1.4%) dan 46 hingga 64 tahun (1.1%).
“Tenaga buruh dan penduduk bekerja di Malaysia pada suku ini masing-masing mencatatkan pertumbuhan 1.7 peratus dan 1.6 peratus berbanding suku pertama 2019.
“Manakala, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) turun 0.3 mata peratus kepada 68.8 peratus berbanding suku keempat 2019,” jelasnya.
Katanya lagi, KPTB lelaki dan wanita kedua-duanya menurun 0.3 mata peratus masing-masing kepada 80.8 peratus dan 55.8 peratus.
“Kumpulan umur yang mencatatkan KPTB lelaki tertinggi adalah umur 35 hingga 44 tahun (97.5%) diikuti umur 25 hingga 34 tahun (95.5%) dan umur 45 hingga 54 tahun (94.7%).
“KPTB perempuan tertinggi dalam pasaran buruh adalah kumpulan umur 25 hingga 34 tahun (75.4%) diikuti umur 35 hingga 44 tahun (68.4%) dan umur 45 hingga 54 tahun (58.5%),” jelasnya.
Sementara itu katanya, penduduk bekerja kategori separuh mahir mendominasi pasaran buruh dengan 59.0 peratus diikuti dengan kategori mahir 27.8 peratus dan berkemahiran rendah 13.2 peratus.
Jelasnya, bilangan penduduk bekerja yang berpendidikan tertiari meningkat 2.2 peratus kepada 4.53 juta orang berbanding 4.43 juta orang pada suku keempat 2019.