Jumlah penganggur dalam negara menurun, pasaran buruh kekal trend naik pada Jan 2024 - DOSM

Nabilah Khaleeda
Mac 8, 2024 12:37 MYT
Bilangan penganggur dalam negara terus menurun pada Januari 2024 merekodkan 567.3 ribu orang, dengan kadar pengangguran 3.3 peratus. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA : Bilangan penganggur dalam negara terus menurun pada Januari 2024 merekodkan 567.3 ribu orang, dengan kadar pengangguran 3.3 peratus, menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Mengulas prestasi keseluruhan bagi bulan Januari 2024, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara kekal dalam trend menaik, selari dengan kedudukan ekonomi negara yang terus meningkat dan sejajar dengan perkembangan ekonomi global.
Sehubungan itu, jelas beliau, tenaga buruh pada Januari 2024 menunjukkan peningkatan yang berterusan iaitu bertambah sebanyak 0.1 peratus kepada 17.05 juta orang berbanding bulan sebelumnya,17.03 juta orang.
"Kadar penyertaan tenaga buruh pada Januari tidak berubah iaitu pada 70.2 peratus, seperti pada bulan sebelumnya,” kata beliau.
Mohd Uzir turut menjelaskan, trend positif ini didorong oleh peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur menurun.
"Bilangan penduduk bekerja terus meningkat, dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus daripada bulan sebelumnya merekodkan 16.48 juta orang.
“Sementara itu, bilangan penganggur terus menurun, dengan sedikit pengurangan iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 567.3 ribu orang,” jelas Mohd Uzir.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kadar pengangguran 3.3 peratus pada Januari kekal seperti direkodkan pada bulan lalu.
#penganggur #Pasaran buruh #Jabatan Perangkaan Malaysia #kadar pengangguran
;