Jumlah pengambilan guru akan meningkat melebihi 5,000 - Radzi

Amirrul Rabbani
Ogos 25, 2022 17:00 MYT
Radzi menyampaikan ucapan pada sesi Wacana bersama Komuniti Orang Asli di Pusat Pentadbiran dan Pusat Komersial Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) hari ini. - BERNAMA
SUNGAI SIPUT: Kementerian Pendidikan akan meningkatkan jumlah pengambilan guru lebih daripada jumlah pengambilan sebelum ini bagi mengisi kekosongan sedia ada di semua sekolah bawah kementerian pada tahun ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata sebelum ini, pada kebiasaan kementerian akan melaksanakan pengambilan sekitar 4,000 hingga 5,000 orang guru pada satu-satu masa.
“Pada kebiasaannya setiap tahun sekitar 4,000 atau 5,000 orang guru diadakan pengambilan. Namun apabila kita tukar kepada sistem kluster, kita lihat jumlah pengambilan itu dapat ditingkatkan.
“Justeru pada tahun ini kita akan teruskan pengambilan dan kita sedang ikhtiarkan bersama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk kita adakah pengambilan guru lebih ramai.
“Kita mahu pengambilan tahun ini lebih daripada 4,000 ke 5,000 orang. Ini sedang kita usahakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Wacana Dr Radzi Jidin Bersama Komuniti Orang Asli di Pusat Pentadbiran dan Pusat Komersial Orang Asli One Stop Center (OAOSC) di sini, pada Khamis.
Walaupun tidak menjelaskan secara terperinci peratusan pertambahan jumlah pengambilan berkenaan, Radzi memberi bayangan angka pengambilan guru pada tahun ini akan menunjukkan pertambahan berbanding ketika tempoh COVID-19 lalu.
Dalam pada itu, Radzi berkata masalah pengambilan guru yang tertangguh sebelum ini adalah disebabkan masalah ‘mismatch’ atau salah padan antara kelulusan graduan dengan keperluan di bilik darjah.
Katanya ketika mula-mula menjawat jawatan Menteri Pendidikan, terdapat 18,702 kekosongan guru yang pada awalnya dikatakan berpunca daripada kekurangan graduan pendidikan.
“Sebab itu kita perkenalkan buat pertama kali dalam sejarah pengambilan guru berdasarkan kepada kluster mata pelajaran.
“Jika dahulu, misalnya graduan dalam bidang fizik, dia kena tunggu kekosongan untuk opsyen fizik di sesuatu sekolah, baru boleh dia masuk.
“Namun selepas kita berbincang, kita putuskan bahawa guru yang berada dalam bidang fizik boleh mengajar dalam bidang-bidang lain yang berkaitan seperti matematik.
“Jadi melalui pendekatan ini, kita akan dapat kelompok guru yang lebih besar. Sebab itu pengambilan kita dapat selesai dengan peratusan dan jumlah pengambilan lebih tinggi,” katanya lagi.
#pengambilan guru #Radzi Jidin #Kementerian Pendidikan #Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan
;