Jumlah pelajar ikuti program sains, teknologi di IPT berkurangan

Bernama
April 22, 2017 20:38 MYT
Abu Bakar berkata, situasi itu dilihat amat membimbangkan. - fotoBERNAMA
Jumlah pelajar yang mengikuti program dalam bidang sains dan teknologi di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini berkurangan berbanding sasaran kerajaan iaitu daripada nisbah 20:80 kepada 60:40.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata merujuk kepada laporan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi: Menjelang 2020, situasi itu dilihat amat membimbangkan kerana bidang berkenaan merupakan elemen penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi khususnya dalam menyumbang tenaga pekerja mahir di negara ini.
Beliau berkata secara dasarnya adalah penting untuk memperkenalkan mata pelajaran berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar seawal pendidikan di peringkat rendah.
"Ini kerana mentaliti untuk merancang masa depan secara teratur sejak dari awal perlu diterapkan dalam diri pelajar agar dapat membuka minda mereka meminati subjek berkenaan.
Bidang pekerjaan serta kepakaran berkaitan STEM seperti ahli saintis, jurutera, pakar teknologi maklumat perlu diserapkan ke dalam minda pelajar agar mereka dapat merancang masa hadapan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Celik Minda STEM Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2017 di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini pada Sabtu.
Abu Bakar berkata adalah wajar semua pihak berkepentingan untuk bersama-sama memikirkan permasalahan utama bagi mengatasi masalah kekurangan pelajar dalam bidang tersebut bagi memastikan kaedah dan pendekatan baharu untuk menarik minat mereka.
Beliau berkata mengambil contoh mata pelajaran berkaitan STEM merupakan subjek yang menarik kerana pelajar dapat mengaplikasikan pembelajaran teori dalam kehidupan seharian.
"Sebagai contoh, eksperimen dalam subjek sains dapat memberi pengalaman baharu kepada pelajar melihat tindak balas atau keputusan dari perspektif yang berbeza dan pelajar dapat menganalisis serta berfikir secara kreatif dan inovatif.
Justeru itu, saya berpendapat adalah penting kerjasama daripada pelbagai pihak untuk duduk berbincang serta memikirkan kaedah yang berkesan dalam menyampaikan pengajaran STEM secara kreatif dan inovatif," katanya.
-- BERNAMA
#Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah #Institusi Pengajian Tinggi #Sains #teknologi #Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi #universiti pengajian
;