Jumlah mangsa banjir meningkat sedikit di Johor, tiga negeri kekal
Bernama
Januari 15, 2025 11:45 MYT
Januari 15, 2025 11:45 MYT
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Johor sedikit meningkat pagi ini berbanding malam tadi manakala situasi di Perak, Pahang dan Sarawak tidak berubah.
Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan sebanyak 1,097 orang daripada 329 keluarga berlindung di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah terjejas berbanding 1,092 orang, malam tadi.
"Kluang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 415 orang sementara jumlah mangsa di tiga daerah yang turut terjejas bencana itu kekal dengan di Pontian sebanyak 354 orang, Kota Tinggi (275 orang) dan Johor Bahru (53 orang), " katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi berkata Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) di Kota Tinggi masih ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air banjir, selain cuaca di Muar, Pontian, Batu Pahat dan Kota Tinggi diramalkan mendung pagi ini.
Di PERAK, jumlah mangsa yang terjejas akibat bencana banjir kekal 31 orang melibatkan sembilan keluarga di daerah Manjung.
Menurut Sekretariat JPBN Perak, kesemua mangsa adalah penduduk dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi dan Kampung Pengkalan Damar yang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat (SAR) Padang Serai.
JBPN Perak juga memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meletakkan dua pam air di Kampung Padang Serai sejak 10 Jan lepas, bagi mengatasi masalah banjir termenung di kawasan terbabit.
Selain itu, paras air Sungai Rui di daerah Hulu Perak berada pada paras berjaga-jaga pagi ini, iaitu 165.42 meter (m) berbanding paras normal 165.10m manakala Sungai Perak di Bagan Datuk merekodkan paras amaran dengan bacaan 2.38m berbanding paras normal sekitar satu meter.
Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri pula memaklumkan laluan A018 Jalan Bota Kiri menghala Jambatan Dato' Sagor hanya dibuka kepada kenderaan berat susulan peningkatan paras air sekitar 0.6m.
Di PAHANG, aplikasi Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Balai Raya Kampung Jawa, Rompin kekal 186 orang daripada 43 keluarga.
Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir juga kekal 20 orang yang ditempatkan di PPS di Dewan Kompleks Sukan Kanowit.
-- BERNAMA