Jumlah mangsa banjir di tiga negeri kekal 280 orang - NADMA

Bernama
Januari 17, 2024 09:54 MYT
Jumlah mangsa banjir yang berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri terjejas banjir kekal 280 orang setakat pukul 4 petang ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri terjejas banjir kekal 280 orang setakat pukul 4 petang ini.
Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), daripada jumlah, 80 mangsa daripada 22 keluarga di Johor berlindung di tiga PPS, yang merangkumi 65 mangsa daripada 19 keluarga di dua PPS di Segamat dan 15 mangsa daripada tiga keluarga di sebuah PPS di Batu Pahat.
Sementra itu Pahang mencatatkan 101 mangsa daripada 34 keluarga, kekal ditempatkan di sebuah PPS di Rompin, manakala 99 mangsa daripada 42 keluarga berada di dua PPS di Beluran, Sabah.
Selain itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati bilangan sungai berada pada paras bahaya meningkat daripada empat kepada lima, melibatkan lima negeri setakat pukul 4 petang ini.
Sungai yang terlibat ialah Sungai Muar, Segamat dan Sungai Johor, Kota Tinggi di Johor, Sungai Kedah, Kota Setar (Kedah), Sungai Arau (Perlis), Sungai Klang, Klang (Selangor) dan Sungai Terengganu, Kuala Terengganu (Terengganu).
NADMA turut memaklumkan 17 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu, Jalan Sungai Tiang di Baling, Kedah dan Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor.
Sementara itu menurutnya jumlah mangsa kebakaran yang masih berlindung di sebuah PPS di Kuching, Sarawak kekal 38 orang daripada 12 keluarga setakat petang ini.
-- BERNAMA
#mangsa banjir #PPS #Pusat Pemindahan Sementara #NADMA