Jumlah mangsa banjir di Sarawak menurun, Sabah kekal

Bernama
Februari 5, 2025 10:30 MYT
Penduduk kampung menggunakan bot untuk keluar dari rumah mereka selepas kawasan itu dinaiki air susulan keadaan banjir di Pangkalan Buit Garam, Kinabatangan, 4 Feb 2025. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sarawak terus menurun manakala di Sabah kekal setakat 8 pagi ini.
Di SARAWAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak melaporkan jumlah mangsa menurun kepada 5,747 orang berbanding 6,160 malam tadi.
Di Bahagian Bintulu, jumlah mangsa di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 1,966 orang berbanding 2,429 sebelum ini manakala di Bahagian Miri jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 1,404 orang berbanding 1,390 malam tadi ditempatkan di 10 PPS.
Bahagian Sibu juga merekodkan peningkatan mangsa kepada 848 orang di lima PPS berbanding 828 sebelum ini sementara jumlah mangsa di Bahagian Serian kekal 792 orang berlindung di dua PPS.
Jumlah mangsa di Bahagian Samarahan menurun kepada 294 orang berbanding 426 di tiga PPS, sementara di Bahagian Mukah jumlah mangsa meningkat kepada 443 orang daripada 313 mangsa malam tadi dengan lima PPS beroperasi.
Keseluruhannya, sebanyak 32 PPS masih beroperasi di Sarawak setakat pagi ini berikutan pembukaan sebuah PPS di Mukah dan penutupan sebuah lagi di Miri.
Di SABAH, jumlah mangsa banjir kekal 137 orang daripada 40 keluarga setakat 8 pagi ini dengan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan Kinabatangan satu-satunya daerah masih dilanda banjir.
Jawatankuasa itu memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sukau menempatkan 36 orang daripada 13 keluarga manakala PPS SK Bukit Garam menempatkan 27 keluarga melibatkan 101 orang.
-- BERNAMA
#Sarawak #PPS #banjir #Sabah
;