Jumlah mangsa banjir di Sabah, Sarawak terus menurun malam ini

Bernama
Februari 12, 2025 21:58 MYT
Di Sabah, jumlah mangsa banjir terus berkurang kepada 206 orang daripada 55 keluarga setakat 8 malam. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak terus menurun dengan hanya 464 mangsa masih berlindung di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu setakat malam ini.
Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir terus berkurang kepada 206 orang daripada 55 keluarga setakat 8 malam, berbanding 476 orang daripada 144 keluarga petang tadi.
Sebanyak 33 orang daripada 10 keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Beaufort dan 173 orang (45 keluarga) di dua PPS di daerah Kinabatangan.
Menurut kenyataan itu, keadaan banjir semakin pulih dan trend pemindahan mangsa banjir di kedua-dua daerah terbabit turut menurun.
Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir di negeri berkenaan juga berkurang kepada 262 orang malam ini dan masih berlindung di lima PPS berbanding 421 orang petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak memaklumkan sebanyak 49 mangsa masih berada di dua PPS di Mukah manakala di bahagian Miri kekal dengan 210 orang di dua PPS dan Sibu tidak berubah dengan tiga orang di sebuah PPS.
-- BERNAMA
#mangsa banjir #Sabah #Sarawak #PPS #JPBN
;