Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat petang ini, Sarawak menurun

Bernama
Februari 8, 2025 18:59 MYT
Sekretariat JPBN Sabah memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 721 daripada 212 keluarga pagi tadi. - Bernama
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sabah yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) kembali meningkat, manakala Sarawak mencatatkan penurunan setakat 4 petang ini.
Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 721 daripada 212 keluarga berbanding 695 daripada 189 keluarga pagi tadi.
Walaupun PPS di Keningau sudah ditutup dan semua mangsa dibenarkan balik namun jumlah mangsa di dua daerah iaitu Beaufort dan Kinabatangan semakin bertambah dan trend pemindahan mangsa ke PPS meningkat.
"Seramai 430 orang (137 keluarga) ditempatkan di tiga PPS di Beaufort, 278 orang (71 keluarga) di dua PPS daerah Kinabatangan dan 13 orang daripada empat keluarga di Tambunan.
"Sebanyak enam PPS di Sabah dibuka melibatkan tiga daerah iaitu tiga PPS di Beaufort, dua di Kinabatangan dan satu PPS di Tambunan," menurut kenyataan itu.
Di SARAWAK, keadaan semakin pulih dengan jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 3,454 orang berbanding 3,921 orang pagi tadi, kata Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak.
Pada masa yang sama, dua lagi PPS, masing-masing satu di Bahagian Sibu dan Sarikei ditutup, menjadikan 19 PPS masih beroperasi di negeri itu.
Sekretariat itu turut memakliumkan bahawa jumlah mangsa di Bahagian Bintulu menurun kepada 1,836 orang berbanding 1,868 orang di lima PPS sebelum ini, manakala di Sibu juga turut berkurangan kepada 737 orang di lima PPS berbanding 983 orang pagi tadi.
Di Mukah, angka mangsa banjir menurun kepada 607 orang berbanding 614 orang sebelum ini, sementara di Miri pula menunjukkan penurunan kepada 274 orang berbanding 443 orang pada pagi tadi.
-- BERNAMA
#Sabah #Sarawak #PPS #JPBN #mangsa banjir
;