Jumlah mangsa banjir di Pahang, Johor menurun, Kelantan kekal
Bernama
Januari 2, 2024 13:40 MYT
Januari 2, 2024 13:40 MYT
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di tiga negeri berkurangan kepada 71 orang di empat pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 12 tengah hari ini, berbanding 80 orang di empat PPS pagi tadi.
Berdasarkan laporan terkini kejadian banjir di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), di Pahang, jumlah mangsa banjir menurun kepada 22 orang yang berlindung di dua PPS di Maran dan Temerloh berbanding 29 orang pagi tadi.
Di Johor, jumlah mangsa menurun sedikit kepada 23 orang yang berlindung di sebuah PPS di Segamat berbanding 25 orang pagi tadi, manakala di Kelantan, bilangan mangsa banjir kekal dengan 26 orang di sebuah PPS di Pasir Mas.
Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati Sungai Arau di Arau, Perlis masih berada pada paras bahaya setakat 12 tengah hari ini, yang merekodkan 24.3 meter (m), namun dalam trend menurun.
Laporan itu juga menyatakan terdapat 24 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan akibat tanah runtuh.
Jalan terlibat antaranya Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli di Hulu Perak, Perak, Jalan Kota Tinggi-Kluang di Kluang, Johor, Jalan Bukit Kayu Hitam-Bukit Tangga-Sintok di Kubang Pasu, Kedah dan Jalan Temerloh-Jerantut di Pahang.
-- BERNAMA