Jumlah mangsa banjir di Pahang bertambah tiga kali ganda, Johor turut meningkat pagi ini

Bernama
Januari 10, 2024 10:30 MYT
Anggota polis menggunakan bot penyelamat bagi membawa mangsa-mangsa yang terperangkap akibat bencana banjir, ketika tinjauan di Pusat Bandar Kota Tinggi, pada Selasa. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di Johor dan Pahang, masing-masing mencatatkan peningkatan pagi ini, dengan Pahang menyaksikan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah lebih tiga kali ganda.
Setakat 6 pagi ini, Pahang merekodkan 1,525 mangsa berbanding hanya 450 mangsa, 8 malam tadi, dengan daerah Rompin menyaksikan pertambahan drastik kepada 716 berbanding 69 semalam, diikuti Pekan (716 berbanding 377), manakala Maran (12 berbanding empat malam tadi).
Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kesemua mereka kini berlindung di 23 PPS yang aktif di ketiga-tiga daerah.
Di Johor pula, jumlah mangsa turut bertambah daripada 7,947 mangsa yang berlindung di 52 PPS malam tadi kepada 8,221 di 53 PPS.
Daripada jumlah itu, 26 PPS di Kota Tinggi menempatkan 4,730 mangsa diikuti 12 PPS di Johor Bahru (1,976 mangsa), sembilan PPS di Kluang (1,308 mangsa), empat di Segamat (99 mangsa) serta sebuah PPS masing-masing di Kulai (86 mangsa) dan Pontian (22 mangsa).
Tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Pahang masih mencatatkan paras bahaya termasuk Sungai Pahang di Pekan, Bera, Maran dan Sungai Rompin (Rompin).
Situasi sama direkodkan Sungai Skudai di Johor Bahru, Sungai Johor di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kulai serta Sungai Endau di Kluang.
Laporan itu turut memaklumkan terdapat 45 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan tanah runtuh antaranya Jalan Kg Belenggu, di Temerloh, Pahang; Jalan Sg. Telor, Kota Tinggi, Johor; Jalan Sungai Sam ke Dabong di Jeli, Kelantan; dan Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor. - BERNAMA
#banjir johor #banjir pahang #mangsa banjir meningkat #Pusat Pemindahan Sementara
;