Menurut laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang aktif di negeri terbabit menurun kepada 101 PPS setakat 8 malam ini, berbanding 131 PPS tengah hari tadi.
Kelantan kekal merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi ditempatkan di PPS melibatkan 20,969 orang daripada 6,615 keluarga, diikuti Terengganu dengan 3,432 individu daripada 951 keluarga, Pahang (278 orang daripada 72 keluarga) dan Johor (54 mangsa daripada 14 keluarga).
Menurut laporan itu, jumlah mangsa di Kelantan menurun kepada 20,969 orang berbanding 21,252 orang tengah hari tadi, yang ditempatkan di 53 PPS di empat daerah dengan PPS di Pasir Mas merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 16,980 orang.
Jumlah mangsa banjir di Terengganu pula mencatatkan penurunan kepada 3,432 orang berlindung di 37 PPS malam ini, berbanding 5,359 orang di 53 PPS tengah hari tadi, dengan daerah terjejas meliputi Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu, Marang dan Setiu.
Laporan itu turut memaklumkan jumlah mangsa di Johor menurun kepada 54 orang malam ini berbanding 63 orang tengah hari tadi dengan tiga PPS masih aktif di Segamat.
Di Pahang, jumlah mangsa meningkat kepada 278 orang malam ini yang berteduh di lapan PPS di tujuh daerah, termasuk 17 orang yang ditempatkan di sebuah PPS di Cameron Highlands membabitkan insiden tanah runtuh, berbanding 209 orang yang berteduh di lima PPS di empat daerah tengah hari tadi.
-- BERNAMA