Jumlah mangsa banjir di Kedah turun kepada 1,332 orang

Bernama
September 30, 2024 21:47 MYT
Menurut laporan Info Bencana JKM semua mangsa dari daerah Pokok Sena, Kota Setar dan Kubang Pasu itu ditempatkan di 10 PPS. - Gambar fail/Bernama
ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah berkurang kepada 1,332 orang daripada 426 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 1,384 orang daripada 444 keluarga petang tadi.
Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semua mangsa dari daerah Pokok Sena, Kota Setar dan Kubang Pasu itu ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS).
Daerah Pokok Sena mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 707 orang daripada 224 keluarga yang ditempatkan di PPS Surau Desa KEDA Derang, Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Dewan Serbaguna Pokok Sena, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau Mukim Derang dan Masjid Kampung Baru Jalan Lampam.
Di Kota Setar, 416 orang daripada 130 keluarga berlindung di PPS SK Titi Gajah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas dan SMK Alor Merah.
Sebanyak 209 orang daripada 72 keluarga di Kubang Pasu pula masih berada di PPS Dewan Lubuk Batu dan SK Bandar Baru Darul Aman.
Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat 8 malam ini, Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Kubang Pasu; Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar dan Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Pendang melebihi paras bahaya.
-- BERNAMA
#Jabatan Kebajikan Masyarakat #PPS #mati lemas #mangsa banjir
;