Jumlah mangsa banjir di Kedah, Perlis semakin berkurangan pagi ini, Perak, Johor kekal

Bernama
Oktober 12, 2024 10:50 MYT
Di Perak, jumlah mangsa banjir pagi ini masih kekal dengan 136 orang daripada 40 keluarga yang berlindung di dua PPS di Kerian, sejak seminggu lalu. - Gambar fail/APM Perak
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kedah dan Perlis semakin berkurangan setakat 8 pagi ini berbanding malam tadi, manakala bilangan penduduk terjejas di Perak dan Johor kekal.
Di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata meskipun Baling merupakan daerah baharu terjejas banjir, namun jumlah mangsa banjir semakin berkurangan dengan mencatatkan 2,952 orang daripada 912 keluarga setakat pagi ini, berbanding 3,051 orang daripada 938 keluarga malam tadi.
Beliau berkata semua mangsa daripada lima daerah itu kini ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara (PPS).
"Tiga pusat pemindahan baharu telah dibuka di daerah Baling awal pagi tadi yang menempatkan 33 orang daripada 14 keluarga, manakala Kota Setar masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,610 orang daripada 484 keluarga ditempatkan di sembilan PPS.
"Di Pendang, seramai 507 orang daripada 139 keluarga ditempatkan di dua PPS, Pokok Sena seramai 442 orang daripada 153 keluarga ditempatkan di lima PPS, manakala di Kubang Pasu seramai 360 orang daripada 122 keluarga ditempatkan di tiga PPS," katanya dalam kenyataan hari ini.
Di PERLIS, bilangan mangsa merekodkan penurunan kepada 119 orang berbanding 140 mangsa pada malam tadi dengan dua PPS masih beroperasi bagi menempatkan kesemua mangsa.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) Perlis Ku Chik Ku Mat Esa berkata dua PPS berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, Kangar serta SK Arau.
Beliau berkata kampung yang masih terjejas banjir ialah Kampung Tok Kandang dan Kampung Bakau di Kangar, serta Kampung Titi Besei, Kampung Stesen dan Kampung Behor Gelam di Arau.
Di JOHOR , Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata jumlah mangsa banjir di Johor kekal 17 orang daripada tiga keluarga dengan kesemua mangsa masih ditempatkan di PPS SK Seri Bunut, Batu Pahat.
"Tiga kawasan yang terjejas akibat bencana itu melibatkan Kampung Talang Bunut, Kampung Olak Batu dan Kampung Parit Nipah Laut di Batu Pahat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Di PERAK, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini masih kekal dengan 136 orang daripada 40 keluarga yang berlindung di dua PPS di Kerian, sejak seminggu lalu.
Seramai 71 orang daripada 20 keluarga masih berlindung di PPS SK Changkat Lobak manakala di PPS SK Parit Haji Aman, Bagan Serai pula menempatkan 65 orang daripada 20 keluarga.
-- BERNAMA
#banjir #PPS #mangsa banjir #pusat pemindahan
;