SIBU: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna JKKK Ngungun di Kanowit dekat sini semakin menurun pada tengah hari ini.

Seramai 62 orang daripada 29 keluarga masih ditempatkan di pusat itu berbanding 77 mangsa daripada 31 keluarga pada pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak pusat itu dibuka pada 1.30 tengah hari semalam apabila Rumah Nyalong Indet dan Rumah Suzusie Lily Jenau di Nanga Baloh serta Rumah Langong di Nanga Bat dilanda banjir.

Ketiga-tiga rumah panjang itu terletak di tepian Sungai Ngemah yang melimpah selepas hujan turun tanpa henti sejak awal Sabtu lepas di kawasan Ulu Ngemah.

Pada masa ini trend air adalah menurun.

-- BERNAMA