Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat, Perak dan Terengganu tidak berubah

Bernama
Januari 12, 2025 10:00 MYT
Keadaan rumah yang dinaiki air akibat banjir di Kampung Paya Kenangan berikutan hujan beterusan sejak semalam ketika tinjauan di Johor Bahru semalam. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor terus meningkat manakala di Perak dan Terengganu kekal sejak malam tadi.
Di JOHOR, jumlah mangsa melonjak kepada 3,449 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 2,524 orang direkodkan malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa daripada 1,023 keluarga itu ditempatkan di 36 PPS yang beroperasi di lima daerah terjejas.
"Kota Tinggi menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 1,160 mangsa dipindahkan ke PPS, diikuti Kulai (748), Johor Bahru (605), Kluang (506) dan Pontian (430)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tiga sungai dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat dengan bacaan 6.03 meter (m), Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (15.75 m) dan Sungai Siam di Kampung Sungai Siam, Kulai (21.07 m).
Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) di Kota Tinggi, katanya masih ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan.
Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini kekal seperti malam tadi dengan 30 orang daripada lapan keluarga berlindung di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di Beruas, Manjung.
"Kesemua mangsa yang berlindung di PPS berkenaan sejak Khamis lepas adalah penduduk dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi serta Kampung Pengkalan Damar," menurut kenyataan itu.
Jabatan Pengairan dan Saliran Perak memaklumkan paras air Sungai Rui di daerah Hulu Perak mencatat paras berjaga-jaga iaitu 165.43 m berbanding paras normal 165.10 m.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan kesemua 12 daerah di Perak berlaku ribut dan hujan pada sebelah petang dan malam hari ini.
Jabatan Kerja Raya Perak pula memaklumkan laluan A175 Jalan Selat-Pulau Pebayan di Perak Tengah masih ditutup kepada semua kenderaan berikutan laluan itu dinaiki air setinggi 0.8m.
Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 16 orang pagi ini dengan kesemuanya ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Geliga Pantai di Kemaman yang dibuka 10 malam tadi.
Berdasarkan laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my/, hanya Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut melepasi paras bahaya iaitu 35.64 m.
-- BERNAMA
#banjir #PPS #paras air sungai
;