Jumlah mangsa banjir di daerah Hilir Perak menurun

Bernama
November 26, 2021 04:32 MYT
Mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) berkurangan kepada 63 mangsa daripada 20 keluarga. - Bernama
IPOH: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Hilir Perak menurun kepada 102 mangsa daripada 33 keluarga pagi ini berbanding 146 mangsa daripada 48 keluarga semalam.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Perak berkata, mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) berkurangan kepada 63 mangsa daripada 20 keluarga.
"PPS Dewan Serbaguna Chikus, Langkap pula menempatkan seramai 39 mangsa daripada 13 keluarga," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
PPS MPTI yang dibuka pada pukul 3 petang Rabu lepas menempatkan penduduk dari lima kampung iaitu Kampung Sungai Rambai, Kunci Air 12 Headwork, Kampung Tanjong Keramat, Sungai Kucing dan Sungai Seluang.
PPS Dewan Serbaguna Chikus pula dibuka pada pukul 10 malam hari yang sama menempatkan penduduk dari Kampung Belt, Kampung Kunci Air 12, Parit 4, 5, 6 dan 7, Chikus.
Banjir kilat itu berlaku akibat limpahan air Sungai Batang Padang menyebabkan kawasan penempatan penduduk dinaiki air setinggi 0.3 meter.
-- BERNAMA
#mangsa banjir #Hilir Perak #pusat pemindahan #APM