Jumlah mangsa banjir di Alor Gajah terus berkurang

Bernama
Ogos 14, 2024 01:20 MYT
Jumlah mangsa banjir di Alor Gajah semakin berkurangan pagi ini apabila hanya 32 mangsa daripada 11 keluarga masih berada di dua pusat PPS di daerah itu pada 7 pagi ini berbanding 50 mangsa daripada 15 keluarga petang semalam. - Gambar fail
MELAKA: Jumlah mangsa banjir di Alor Gajah semakin berkurangan pagi ini apabila hanya 32 mangsa daripada 11 keluarga masih berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu pada 7 pagi ini berbanding 50 mangsa daripada 15 keluarga petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, sebanyak 21 mangsa daripada tujuh keluarga berlindung di PPS Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Limau.
"PPS Balai Raya Seri Jeram pula menempatkan 11 mangsa daripada empat keluarga," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, empat kawasan masih terjejas dengan baniir yang melanda dari Ahad lepas membabitkan Kampung Seri Jeram, Kampung Teluk Berembang, Kampung Titian Bintangor dan Kampung Pengkalan Pauh.
Keadaan cuaca dilaporkan cerah pagi ini dan tiada jalan ditutup kepada kenderaan. - BERNAMA
#banjir alor gajah #mangsa banjir #Pusat Pemindahan Sementara #Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka