Jumlah mangsa banjir di Alor Gajah menurun pagi ini

Bernama
Ogos 13, 2024 00:50 MYT
Mangsa banjir Ahmad Said membersihkan halaman rumahnya yang dinaiki lumpur ekoran banjir yang berlaku pada Ahad, ketika ditemui di Kampung Sungai Jernih, Alor Gajah, pada Isnin. - Gambar Bernama
MELAKA: Jumlah mangsa banjir di Alor Gajah menurun kepada 237 mangsa daripada 61 keluarga setakat 7 pagi ini berbanding 407 mangsa daripada 121 keluarga pada 7.30 malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata kesemua mangsa ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan.
"PPS Balai Raya Paya Lebar menempatkan 61 mangsa daripada 13 keluarga, PPS Balai Raya Ayer Paabas (tiga mangsa daripada tiga keluarga) dan PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Ar-Rasyidin (13 keluarga daripada tiga keluarga).
"Selain itu, PPS Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kuala Linggi (105 mangsa daripada 26 keluarga), PPS Dewan Japerun Ayer Limau (44 mangsa daripada 12 keluarga) dan PPS Balai Raya Seri Jeram (11 mangsa daripada empat keluarga)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata antara kawasan terjejas termasuklah Kampung Paya Lebar, Kampung Ramuan China Besar, Kampung Bukit Apit, Kampung Ayer Limau, Kampung Sungai Jernih, Kampung Lekok, Kampung Paya Rumput, Kampung Lubok China, Taman Masjid Tanah Ria, Taman Bandar Baru Masjid Tanah, Kampung Rantau Panjang dan Kampung Berisu.
Selain itu, turut terjejas Taman Awan Biru, Taman Seri Bayu 2 dan 3, Taman Seri Aman, Kampung Belimbing Dalam, Kampung Solok Ayer Limau, Kampung Seri Jeram, Kampung Ladang, Kampung Keramat Lebai, Panchor dan Taman Rembia Jaya.
Cuaca dilaporkan cerah pagi ini dan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan. - BERNAMA
#banjir alor gajah #mangsa banjir #Pusat Pemindahan Sementara #Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri