Jumlah akaun SSPN-i Plus meningkat - Dasuki

Bernama
April 11, 2021 04:05 MYT
Ahmad Dasuki (kiri) bersama Sonita (tengah) yang memenangi Mercedes Benz C200 FL AMG Line, pada majlis di Bangsar, malam tadi. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Atomotif NZ Wheels Sdn Bhd Datuk Nik Hamdan Nik Hassan. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sejumlah 4.86 juta akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan SSPN-i Plus melibatkan jumlah simpanan sebanyak RM8.28 bilion setakat Februari ini, sejak ia ditubuhkan pada tahun 2014.
Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, jumlah ini membukti skim ini semakin menjadi pilihan sebagai pelan simpanan pendidikan utama ibu bapa, bagi perancangan kewangan anak-anak.
Katanya, peningkatan jumlah pendeposit juga disumbangkan oleh inisiatif dilaksanakan PTPTN, dalam memperkenalkan cabutan hadiah sejak 2015.
"Sebanyak 636,496 akaun dengan simpanan sebanyak RM645.9 juta telah dibuka oleh pendeposit sehingga Februari lepas, semenjak pengenalan insentif cabutan bertuah itu pada tahun 2015," katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian hadiah cabutan WOW! SSPN-i Plus tahunan 2020 di sini pada Ahad.
Terdahulu, Pensyarah Kolej Matrikulasi Pahang Sonita Sudin, 43, diumumkan pemenang tempat pertama bagi cabutan tahunan dan membawa pulang sebuah kereta Mercerdes Benz C200 FL AMG Line.
Menyifatkan kemenangan itu sebagai sesuatu yang tidak dijangka, ibu kepada tiga orang ini turut menggalakkan lebih ramai ibu bapa memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan itu dengan menyimpan demi masa depan anak-anak, katanya.
-- BERNAMA
#SSPN #SSPN-i Plus #simpanan #bilion #pilihan ramai #pelan pendidikan #perancangan kewangan anak-anak #Ahmad Dasuki Abdul Majid #cabutan hadiah
;