Juhari Bulat dilantik Speaker DUN Kedah baharu
Abd Hadi Che Awang
Ogos 25, 2020 10:29 MYT
Ogos 25, 2020 10:29 MYT
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Juhari Bulat, dilantik sebagai Speaker DUN Kedah yang baharu hari ini.
Beliau menggantikan Datuk Ahmad Kassim yang meletak jawatan 15 Ogos lalu.
Juhari sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Speaker DUN Kedah sejak Julai 2018, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengambil alih pentadbiran negeri.
Pencalonan Juhari dicadangkan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor, yang juga ADUN Jeneri dari Pas, dan disokong Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Bersatu-Guar Cempedak) bersama 21 ADUN kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah yang lain.
Terdahulu, berlaku perdebatan berhubung usul tersebut, membabitkan beberapa ADUN kerajaan dan pembangkang, termasuk Ketua Pembangkang Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Mukhriz.
Phahrolrazi (Amanah-Alor Mengkudu) mempertikaikan pelantikan itu yang didakwanya tidak dibuat mengikut prosedur yang betul, selain mendakwa ahli Dewan tidak menerima notis kekosongan jawatan itu.
Datuk Suraya Yaacob (BN-Sungai Tiang) kemudian bangun menjelaskan bahawa pemberitahuan tidak diperlukan memandangkan peletakan jawatan dibuat sebelum Dewan bersidang mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
Perdebatan terus hangat apabila Datuk Johari Abdul (PKR-Gurun), Mukhriz (Bebas-Jitra) dan Datuk Zamri Yusuf (PKR-Suka Menanti) bangun mengemukakan hujah dan pandangan masing-masing.
Juhari bagaimanapun tetap meneruskan agenda dalam proses mengemukakan calon bagi jawatan Timbalan Speaker.
ADUN Pantai Merdeka Ahmad Fadzli Hashim kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Kedah, mengisi kekosongan ditinggalkan Juhari.
17 Mei lalu, Sanusi dilantik sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 selepas gabungan PN negeri berjaya mendapatkan sokongan majoriti ADUN bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Komposisi terkini 36 kawasan DUN di Kedah adalah terdiri daripada Pas (15 ADUN), Bersatu (enam) dan UMNO (dua) di barisan kerajaan, manakala di pihak pembangkang, PKR (lima), Parti Amanah Negara (empat), DAP (dua) dan Bebas (dua).
#Ahmad Fadzli Hashim
#Dewan Undangan Negeri
#DUN Kedah
#Juhari Bulat
#Kedah
#Muhammad Sanusi Md Nor
#Pakatan Harapan
#perdebatan
#Perikatan Nasional
#Speaker
#Timbalan Speaker