Judi tanpa lesen, dasar kewangan bagi SME fokus Dewan Rakyat hari ini

Bernama
Oktober 3, 2021 07:49 MYT
Persidangan Dewan Rakyat juga akan menyambung sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 yang memasuki hari terakhir, hari ini.
KUALA LUMPUR: Perihal berkaitan judi tanpa lesen dan dasar kewangan jangka panjang serta perancangan bagi perusahaan kecil dan sederhana (SME) antara yang bakal dikupas pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Cha Kee Chin (PH-Rasah) akan bertanya Menteri Dalam Negeri mengenai langkah kerajaan untuk membanteras kegiatan judi nombor 4D tanpa lesen, kerana kewujudannya menjejaskan hasil kutipan cukai kerajaan.
Selain itu, Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) akan meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan dasar kewangan jangka panjang dan perancangan untuk membantu SME serta industri terkesan teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan semasa pandemik COVID-19.
Persidangan Dewan Rakyat juga akan menyambung sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang memasuki hari terakhir, hari ini selepas RMK12 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 Sept lepas.
Mengikut takwim Dewan Rakyat, ia akan disusuli dengan jawapan daripada menteri selama tiga hari bermula esok.
Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt ini.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #judi tanpa lesen
;