Judi raya: Video kedua dipercayai dari pihak produksi sama - Polis
Fareez Azman
April 17, 2021 16:07 MYT
April 17, 2021 16:07 MYT
KUALA LUMPUR: Polis percaya video judi raya dalam talian kedua yang tular pada pagi Sabtu adalah dari pihak produksi yang sama.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, siasatan awal mendapati pelakon dalam video pertama dan kedua saling mengenali.
"Video kedua ada beberapa orang lelaki dan wanita. Maklumat siasatan awal adalah daripada pihak produksi yang sama.
"Cuma pelakon sahaja berbeza, namun pelakon video pertama dan kedua ada kaitan. Mereka saling mengenali jadi kita sedang mengesan mereka lagi," katanya dalam sidang media di IPD Dang Wangi pada Sabtu.
Tambah Mohamad Zainal, satu laporan polis telah dibuat pihaknya bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung video kedua judi raya dalam talian yang tular itu.
"Pada hari ini satu laporan polis telah dibuat pegawai saya, bagi membolehkan satu siasatan dijalankan ke atas pembikinan video tular di media sosial berkaitan judi dalam talian.
"Kita telah jalankan siasatan bagi mengenal pasti penerbit video tersebut, para pelakon yang terlibat dan juga dalang di sebilik pengeluaran video tersebut," katanya lagi.
Jelasnya lagi, polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memudahkan siasatan dilakukan.
Iklan Hari Raya | Lapan individu ditahan terlibat iklan promosi judi
Tindakan tegas katanya akan diambil termasuk Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
"Ya, dia adalah ejen masih bebas, kita percaya suspek boleh bantu lebih banyak (siasatan) bagi mencari siapa dalang disebalik video-video ini.
"Mereka ini penganjur judi online di negara kita. Kita akan kerjasama dengan SKMM bagi memudahkan siasatan. Kita tidak akan kompromi dan ambil tindakan tegas termasuk di bawah POCA atau di bawah AMLA sekiranya dapat mengesan mereka dan buktikan kegiatan judi haram ini," katanya.
Terdahulu, satu lagi iklan judi raya dikesan tular di laman sosial pada pagi Sabtu berjudul ‘Hari Raya Berkaya’.
Video berdurasi tiga minit 18 saat itu memaparkan seorang lelaki dan wanita mempromosikan aktiviti judi secara dalam talian sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri.