Judi: Polis Sabah rampas lebih RM100,000, tangkap 93 orang

Eleanor Michelle Patrick
Februari 15, 2021 14:05 MYT
HAZANI: Pemantauan pematuhan SOP yang dijalankan pada 11 hingga 14 Februari juga menunjukkan seramai 116 orang telah dikompaun atas kesalahan ingkar mematuhi SOP yang telah ditetapkan. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Serbuan polis Sabah ke atas aktiviti perjudian di negeri ini telah melibatkan rampasan bernilai RM117,674.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, sebanyak 12 serbuan telah dijalankan di bawah Op Limau, sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.
"Hasil serbuan, seramai 93 orang telah ditangkap atas kesalahan berjudi, malah turut dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah turut membuat serbuan ke atas aktiviti perjudian yang melibatkan sabung ayam sebanyak enam serbuan dengan tangkapan sebanyak 22 orang dan turut dikompaun dengan jumlah rampasan wang tunai sebanyak RM1,268," katanya.
Jelasnya, pemantauan pematuhan SOP yang dijalankan pada 11 hingga 14 Februari juga menunjukkan seramai 116 orang telah dikompaun atas kesalahan ingkar mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
"PDRM Sabah sedia maklum, banyak aktiviti yang telah mula dibenarkan kerajaan sepertimana yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Justeru, PDRM Sabah akan terus menggiatkan usaha untuk memastikan semua rakyat di negeri Sabah ini mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan tidak ingkar dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Pada masa yang sama, PDRM Sabah akan terus meningkatkan risikan dan pengumpulan maklumat bagi kes-kes jenayah sama ada perjudian, pusat hiburan dan apa-apa jua bentuk perlanggaran SOP yang sedang dikuatkuasa pada ketika ini yang berlaku di seluruh negeri Sabah.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di balai-balai berdekatan ataupun di Bilik Gerakan IPK Sabah (088-318555).
#op limau #judi #aktiviti perjudian #Pesuruhjaya Polis Sabah #Hazani Ghazali #Tahun Baharu Cina #SOP #polis #PDRM #ingkar PKP
;