Judi dalam talian: Lima premis diserbu polis Kota Tinggi

Siti Nur Aqilla Omar
September 21, 2022 13:54 MYT
Hussin berkata hasil risikan pihaknya percaya lima premis tersebut telah beroperasi selama satu hingga tiga bulan. - Foto Astro AWANI
KOTA TINGGI: Berselindung di sebalik kedai kopi, pasar raya mini dan kedai aksesori telefon.
Itu antara modus operandi yang dilakukan lima premis perjudian dalam talian yang diserbu pihak polis di sekitar Kota Tinggi Johor, dalam operasi pemotongan bekalan elektrik bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, lima penjaga premis berusia 20 hingga 40 tahun turut ditahan.
Hasil risikan pihaknya percaya lima premis tersebut telah beroperasi selama satu hingga tiga bulan.
"Pemotongan ini kita lakukan selaras dengan Akta Rumah Judi Terbuka. Risikan yang kita buat, premis ini telah beroperasi 1 hingga 3 bulan.
"Ekoran itu, pemotongan dibuat bagi mengelakkan kejadian seumpama ini terus berlaku. Dalam operasi ada tangkapan, seorang penjaga. Lima tangkapan lagi kita buat di kawasan Felda ,di kawasan bandar pun ada. Mereka akan lakukan di mana sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pada Operasi Pemotongan Elektrik di sini hari ini.
Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Jelas Hussin lagi, sekiranya pemilik premis mahu pemasangan elektrik disambung semula, mereka perlu memohon kepada pihak polis.
Katanya selepas pemotongan elektrik polis akan menyiasat sama ada aktiviti sama (perjudian) berulang atau tidak, jika kejadian berulang pihaknya akan mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membatalkan lesen perniagaan tersebut.
#potong elektrik #Kota Tinggi #judi dalam talian #TNB
;