Jubli Intan: Zoo Negara tawar tiket percuma buat kanak-kanak, warga emas

Bernama
Januari 26, 2024 21:25 MYT
Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara itu dijangka dirasmikan Anwar di Dataran Dato' Ismail Hutson, Zoo Negara. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Zoo Negara akan menawarkan tiket masuk percuma kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersempena dengan sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60, esok.
Timbalan Presiden Zoo Negara Datuk Rosly Lana @ Rahmat Ahmat Lana berkata turut menikmati keistimewaan itu ialah pengunjung warga emas berusia 60 tahun ke atas, sekali gus memeriahkan lagi sambutan berkenaan.
"Kanak-kanak juga akan menerima kipas tangan gajah tajaan Hyperack Sdn Bhd dan buku mewarna Zoo Negara tajaan Pelangi Publishing Group Berhad," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.
Rosly yang juga Timbalan Presiden Malaysian Zoological Society berkata sambutan itu diadakan bersempena dengan memperingati enam dekad dedikasi Zoo Negara terhadap usaha konservasi hidupan liar, pendidikan dan kesedaran masyarakat tentang alam sekitar.
Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara itu dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Dato' Ismail Hutson, Zoo Negara.
Majlis yang akan berlangsung bermula pukul 9 pagi hingga 12.30 tengah hari itu juga dijadual dihadiri Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
-- BERNAMA
#Zoo Negara #hidupan liar #warga emas #buku mewarna
;