Jualan tiket ETS KTMB Aidilfitri: Lebih 80 peratus telah dijual

Bernama
Mac 25, 2024 22:50 MYT
Suhaimi berkata bersempena dengan Aidilfitri ini, pihak KTMB turut mempamerkan sejarah tempat yang menarik untuk dilawati di negara ini di dalam tren mereka. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Lebih 80 peratus daripada 119,880 tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang ditawarkan bagi tempoh perjalanan Aidilfitri dari 1 hingga 15 April, telah terjual setakat pagi tadi.
Ketua Pegawai Korporat KTMB Suhaimi Yaacob berkata bagi tiket ETS tambahan pula, sebanyak 37 peratus daripada keseluruhan 15,120 tiket yang ditawarkan telah dijual.
"KTMB sudah pun menggunakan platform digital untuk penjualan tiket yang membolehkan orang ramai membuat pembelian tiket bagi tempoh enam bulan ke hadapan.
"Kami harapkan penjualan tiket untuk bulan Ramadan tahun ini berjaya seperti tahun-tahun yang lepas," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata tiket tambahan ETS itu meliputi enam perkhidmatan iaitu dua perkhidmatan laluan KL Sentral ke Padang Besar dan Padang Besar ke KL Sentral, dua perkhidmatan laluan KL Sentral ke Butterworth dan Butterworth ke KL Sentral serta dua perkhidmatan ekspres untuk laluan KL Sentral ke Ipoh dan Ipoh ke KL Sentral.
"Untuk perjalanan ke Pantai Timur pula, sepertimana yang pengguna kami tahu, kami tetap dengan tren nostalgia ataupun tren tolak dan tarik (push and pull) dan tren ini kami adakan satu perjalanan sehari dari JB Central ke Tumpat.
"Kami juga ada menyediakan tren khas untuk Aidilfitri iaitu yang bertolak dari KL Sentral untuk ke Tumpat, hanya satu perjalanan pergi dan satu perjalanan balik. Sambutan kedua-dua servis ini sama ada di Pantai Barat ataupun di Pantai Timur adalah sangat baik," katanya.
Suhaimi berkata bersempena dengan Aidilfitri ini, pihak KTMB turut mempamerkan sejarah tempat yang menarik untuk dilawati di negara ini di dalam tren mereka.
Selain itu, katanya pihak KTMB turut menjual cenderamata hasil kolaborasi bersama peniaga-peniaga kecil tempatan yang boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web KTMB dan juga Shopee.
Dalam pada itu, menjangkakan kesibukan di stesen-stesen KTMB di seluruh negara menjelang Aidilfitri, beliau menyarankan para pengguna perkhidmatan tren berkenaan untuk sampai ke stesen lebih awal daripada biasa bagi mengelakkan kesesakan.
Terdahulu, beliau bersama beberapa pengurusan KTMB berkunjung ke Wisma Bernama di sini untuk menyumbang beberapa jenis manisan sebagai juadah berbuka puasa kepada kakitangan Bernama yang diharap dapat merapatkan hubungan antara kedua-dua pihak.
-- BERNAMA
#KTMB #ETS #Aidilfitri #penjualan tiket
;