Jualan Rahmah: Rakyat dapat berjimat, pasar raya pula nikmati keuntungan

Hasimi Muhamad
Julai 12, 2023 06:50 MYT
Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Mas Imran (tengah) ketika tinjauan harga barangan asas di Econsave Setapak Central pada Selasa - Foto/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Jualan Rahmah yang dilaksanakan sejak Januari lalu disifatkan berjaya mengurangkan harga barangan, selain mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna.
Selain meringankan beban rakyat, inisiatif itu yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut memberi impak positif kepada pasar raya yang terlibat.
Menurut Pengurus Besar Econsave Cash And Carry (Econsave), Mas Imran Adam, pihaknya merekodkan peningkatan jualan sekitar 20 peratus hasil inisiatif berkenaan, dengan melibatkan sekurang-kurangnya 3,000 barangan dalam senarai Jualan Rahmah.
"Kita rasa inisiatif Jualan Rahmah ini sangat-sangat baik. Kita tengok sejak Jualan Rahmah dilancarkan, memang peningkatan jualan pasar raya kami ketara terutama barangan Jualan Rahmah.
"Kita tengok memang pelanggan datang dan akan tengok poster senarai-senarai Jualan Rahmah yang kita letak.
"Lagi satu Jualan Rahmah ini saya rasa ia tidak merugikan sesebuah pasar raya itu," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini.
Dalam masa yang sama, Mas Imran berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, tidak berlaku peningkatan harga barangan secara ketara termasuk melibatkan harga beras seperti yang didakwa.
"Kalau sebelum ini ada pelanggan cakap gula naik harga, padahal harga gula dah beberapa tahun pun sama sebab gula memang bersubsidi.
"Harga minyak (botol keemasan lima kilogram) pula, kalau ikutkan sebelum ini lagi tinggi dijual dengan kebanyakan melebihi RM30. Sekarang harga minyak masak berkenaan dijual sekitar RM27 dan RM28," ujarnya lagi.
Pada Selasa, Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata barangan asas terutamanya yang bersubsidi tidak mengalami kenaikan harga secara melampau sehingga hujung tahun ini.
Program Jualan Rahmah yang menawarkan diskaun harga barangan makanan dan keperluan asas hingga 30 peratus sedang giat dilaksanakan melibatkan 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.
Setakat 30 Jun lepas, KPDN memaklumkan sebanyak 3,557 lokasi Jualan Rahmah telah dilaksanakan.
#Jualan Rahmah #Salahuddin Ayub #Harga barangan asas #Kerajaan Perpaduan
;