Jualan Rahmah Bergerak bantu rakyat secara bersasar - Fuziah

Bernama
Julai 19, 2023 18:00 MYT
Fuziah berkata menerusi pendekatan itu Jualan Rahmah Bergerak akan dibuat di lokasi yang majoritinya terdiri daripada penduduk dalam kategori B40. - Gambar fail/Bernama
SUNGAI PETANI: Pelaksanaan Jualan Rahmah Bergerak menerusi pendekatan 'Kedai Cari Rakyat' merupakan satu inisiatif yang dapat membantu rakyat dengan cara lebih bersasar.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata menerusi pendekatan itu Jualan Rahmah Bergerak akan dibuat di lokasi yang majoritinya terdiri daripada penduduk dalam kategori B40.
"Pelaksanaan Kedai Cari Rakyat ini bertujuan membantu penduduk dengan cara bersasar, rakyat tak perlu ke kedai dan kita akan adakan di tempat yang ada golongan B40, yang ada rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), yang ada rumah kos rendah.
"Ini bagi memastikan subsidi yang disediakan untuk rakyat sampai kepada golongan sasar...malah kita sasarkan untuk mengadakan dua kali jualan dalan tempoh sebulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jualan Rahmah Bergerak peringkat Kedah di Taman Ria Jaya dekat sini, hari ini.
Fuziah berkata 99 peratus daripada peruntukkan RM1 juta bagi program jualan ini dibelanjakan untuk memberikan subsidi kepada rakyat.
"Majoriti peruntukkan itu bukan untuk promosi atau pengiklanan..kita juga mendapat kerjasama daripada vendor yang terdiri daripada pemborong, yang mana mereka juga sama-sama mahu mengangkat aspirasi Malaysia MADANI untuk sama-sama membantu rakyat.
"Kalau kita dengar barang akan naik harga, itu pasaran terbuka...akan tetapi jika model Jualan Rahmah Bergerak ni berjaya, saya yakin pembekal-pembekal juga akan mengikut kehendak rakyat," katanya.
Menurutnya sehingga hujung bulan lepas, 1.1 juta rakyat telah mendapat manfaat daripada Jualan Rahmah Bergerak dengan nilai jualan melebihi RM30 juta.
"Setakat ini program jualan seperti ini aktif di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Pulau Pinang... malah kita sasarkan ia juga berjalan lancar di Kedah," katanya.
Tambahnya barang-barang keperluan yang dijual termasuk telur, minyak masak, tepung, gula, bawang, milo, ikan bilis dan beras dengan harga yang ditawarkan adalah sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
-- BERNAMA
#Fuziah Salleh #Kedai Cari Rakyat #Projek Perumahan Rakyat #Jualan Rahmah Bergerak
;